Industri Perabot Malaysia Digesa Perluas Aktiviti Melebihi Hab Tradisional - Chan
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Industri perabot Malaysia mesti segera mempelbagaikan pasaran eksportnya selain tidak bergantung terlalu banyak kepada hab tradisional, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk meneroka pasaran baharu yang sedang berkembang apabila permintaan terhadap perabot lestari dan berkualiti tinggi semakin meningkat serta hubungan perniagaan kurang terdedah kepada risiko geopolitik.
“Perkukuhkan asas tempatan anda. Membina kerjasama yang kukuh dengan pembeli tempatan Malaysia daripada pemaju dan peruncit hingga pereka bentuk yang akan memberikan kestabilan, keanjalan dan daya tahan yang diperlukan oleh industri kita bagi menghadapi cabaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Pasaran Perabot dan Perhiasan Malaysia (MFFM) 2025 di sini, hari ini.
Chan berkata tiga aliran mega akan membentuk daya saing dalam sektor perabot iaitu kelestarian dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), transformasi digital serta inovasi dalam reka bentuk.
Beliau turut berkata MFFM berkembang dengan pesat melebihi sekadar sebuah pameran untuk menjadi hab strategik Malaysia bagi perdagangan perabot dengan misi berganda iaitu menggerakkan pengeksport ke pasaran antarabangsa sambil mengukuhkan asas domestik industri berkenaan.
“Dalam keadaan hari ini yang dipenuhi dengan tarif, perubahan rantaian bekalan, tekanan pematuhan ESG dan perubahan gaya hidup pengguna, dwi tumpuan ini bukan sahaja menguntungkan tetapi juga penting untuk kelangsungan dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Disokong oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Majlis Kayu-Kayan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, MFFM 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 6 September dalam edisi keduanya berkembang dengan penyertaan 70 pempamer dan pembeli dari lebih 50 negara.
Pameran ini menampilkan pengeluar Malaysia bersama peserta dari China dan Jepun yang mempamerkan pelbagai produk seperti perabot rumah, pejabat serta kelengkapan dan bahan-bahan.
-- BERNAMA