AmanahRaya Trustees, CoKeeps Bekerjasama Majukan Infrastruktur Aset Digital

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- AmanahRaya Trustees Bhd (ART), anak syarikat milik penuh Amanah Raya Bhd memeterai memorandum persefahaman dengan CoKeeps Sdn Bhd bagi meneroka penubuhan perkhidmatan Penjaga Aset Digital.

Kedua-dua syarikat dalam satu kenyataan bersama berkata inisiatif ini menandakan satu langkah penting ke arah memajukan perubahan digital, meningkatkan keyakinan pelabur dan mengukuhkan ekosistem kewangan Malaysia.

Kenyataan itu berkata dengan memanfaatkan kepakaran lama ART dalam perkhidmatan fidusiari dan pemegang amanah serta peranan CoKeeps sebagai penjaga aset digital pertama yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, kerjasama ini akan berfungsi sebagai medan ujian bagi tokenisasi.

Kerjasama ini menyasarkan untuk memperkukuh keupayaan ART dalam memberikan perkhidmatan kepada pelbagai segmen pelanggan dengan mengintegrasikan infrastruktur aset digital yang diperakui bagi menyokong pelanggan korporat, mandat persendirian serta pelanggan individu, perancangan harta pusaka dan inisiatif tokenisasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ART Zainudin Suhaimi berkata aset digital sedang membentuk semula masa depan kekayaan dan peranan seorang pemegang amanah perlu berkembang seiring dengan perubahan ini.

Katanya kerjasama dengan CoKeeps mencerminkan tindak balas strategik terhadap evolusi berkenaan.

“Dengan menghubungkan peranan fidusiari tradisional dengan infrastruktur terkini, ART memastikan ia kekal sebagai rakan kerjasama yang dipercayai dalam persekitaran kewangan yang sedang berubah dengan pesat,” katanya.

Senada dengan pandangan Zainudin, CEO CoKeeps Suhanna Hussein berkata kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam mewujudkan ekosistem yang selamat dan boleh dipercayai.

Katanya, ia bukan sahaja mematuhi keperluan peraturan tetapi juga menyesuaikan diri dengan jangkaan pasaran yang semakin berkembang.

“Inisiatif ini selaras sepenuhnya dengan agenda kerajaan bagi mempercepatkan ekonomi digital Malaysia dan menggalakkan inovasi kewangan.

“Kerjasama di antara ART dengan CoKeeps akan memastikan rangka kerja penjagaan aset dibina berasaskan tadbir urus yang kukuh, pematuhan yang ketat dan pengurusan risiko yang menyeluruh, sekali gus meletakkan asas bagi kesiapsiagaan terhadap tokenisasi dan penciptaan nilai jangka panjang,” jelasnya.

-- BERNAMA