DEX CONNEX 2025 Anjuran MDEC Raih Lebih RM1 Bilion Dalam Eksport Digital
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Platform padanan perniagaan, DEX CONNEX Edisi 2025 anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) meraih lebih RM1 bilion dalam anggaran peluang eksport digital sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital utama ASEAN.
Inisiatif ini yang diadakan di bawah program Gateway, Amplify, Invest and Nurture (GAIN) MDEC, menghubungkan 217 syarikat teknologi Malaysia dengan rakan kerjasama di Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.
“Sebanyak 55 memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dipersetujui dengan 219 rakan kerjasama di seluruh rantau ini.
"Perjanjian-perjanjian ini merangkumi sektor strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan awan, platform digital, penyelesaian bandar pintar, keselamatan siber, teknologi kewangan, pusat data dan teknologi pertanian,” kata MDEC dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata DEX CONNEX merupakan platform yang mengukuhkan ekosistem digital serantau dan menyokong kerjasama yang lebih erat di seluruh ASEAN.
“Dengan menghubungkan syarikat teknologi dengan pasaran global, kami mencipta peluang bernilai tinggi yang memperkasakan perniagaan, memupuk bakat dan meletakkan Malaysia sebagai ekosistem digital terkemuka,” katanya.
Di Indonesia, sebanyak 26 MoU ditandatangani melibatkan 83 syarikat Malaysia dengan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan infrastruktur digital.
Di Filipina, 49 syarikat Malaysia bekerjasama dengan 43 syarikat Filipina yang menghasilkan pertukaran sebanyak 14 MoU termasuk satu perjanjian penting dengan Data Centre Incorporated bagi mempercepatkan inovasi digital.
Di Thailand, 52 syarikat Malaysia bekerjasama dengan 52 syarikat Thailand yang menghasilkan 11 MoU termasuk pembaharuan MoU MDEC dengan Agensi Promosi Ekonomi Digital (DEPA) yang pertama kali ditandatangani pada 2023 bagi mengukuhkan inisiatif bersama dan pertukaran pengetahuan digital.
Siri tersebut berakhir di Vietnam dengan penyertaan 33 syarikat Malaysia dan 45 rakan kerjasama Vietnam yang menghasilkan empat MoU termasuk kerjasama di antara IX Telecom dengan Netnam Corporation dan Vietnam Posts and Telecommunications Group, Entomal Biotech dengan Wesco Company Ltd serta Eco Community dengan eCommunity Vietnam.
MDEC juga berkata sejak 2017, program GAIN melalui DEX CONNEX menjana pendapatan sebanyak RM47.13 bilion dan eksport sebanyak RM15.4 bilion.
“Pencapaian tahun ini selari dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia iaitu mengukuhkan hasrat negara agar ekonomi digital menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia menjelang 2030,” kata MDEC.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif MDEC, sila layari www.mdec.my
-- BERNAMA