BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

IOI Properties Selesai Terbitan Sukuk Murabahah Berjumlah RM1 Bilion

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh IOI Properties Group Bhd (IOIPG), iaitu Fortune Premiere Sdn Bhd telah melengkapkan terbitan ketujuh sukuk murabahah berjumlah sehingga RM1 bilion dalam nilai nominal di bawah program nota jangka sederhana Islam pelbagai mata wang sedia ada sehingga RM3 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata terbitan terbaharu itu terdiri daripada tiga bahagian.

Bahagian 9 mempunyai nilai nominal RM150 juta, tempoh selama tujuh tahun dan kadar keuntungan 3.79 peratus.

Bahagian 10 pula mempunyai nilai nominal RM300 juta, tempoh 10 tahun dan kadar keuntungan 3.85 peratus.

Sementara itu, bahagian 11 mempunyai nilai nominal RM550 juta, tempoh 15 tahun dan kadar keuntungan 4.04 peratus.

IOIPG berkata hasil yang diperoleh daripada terbitan itu akan digunakan oleh syarikat dan anak syarikatnya untuk tujuan patuh syariah, termasuk perbelanjaan modal, keperluan modal kerja, pembiayaan semula pinjaman sedia ada, dan tujuan korporat am. 

Pengurus utama bersama bagi terbitan ketujuh ialah AmInvestment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd, dan RHB Investment Bank Bhd.

-- BERNAMA