Perkhidmatan Keseluruhan Aerotrain KLIA Meningkat Meskipun Berlaku Gangguan Teknikal
PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memberi jaminan kepada penumpang bahawa pihaknya kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan cekap susulan isu teknikal yang menjejaskan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata insiden berkenaan berpunca daripada komponen Current Collector Device (CCD) yang tertanggal, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan kuasa kepada salah daripada tren.
“Kami amat kecewa memandangkan Aerotrain baru sahaja menjalani penyelenggaraan berjadual selama dua minggu melibatkan semua kontraktor. Saya telah dimaklumkan oleh pihak Alstom selaku ketua penyelarasan projek Aerotrain bahawa insiden semalam disebabkan oleh CCD yang tertanggal, seterusnya menyebabkan kehilangan kuasa kepada tren berkenaan.
"Dalam perbincangan lanjut kami, Alstom bersetuju memberikan penjelasan terperinci berhubung CCD yang tertanggal itu.
"Saya juga telah meminta Alstom menjalankan siasatan menyeluruh dan bekerjasama rapat dengan pasukan kejuruteraan kami sepanjang tempoh penyelenggaraan harian tren bagi mengenal pasti sebarang potensi risiko,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dilaporkan bahawa gangguan kuasa telah menyebabkan satu daripada tren Aerotrain di KLIA terhenti seketika semalam. Insiden berlaku pada pukul 1.36 tengah hari ketika tren menghampiri terminal satelit.
Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata meskipun berlaku gangguan tersebut, indikator prestasi operasi Aerotrain menunjukkan peningkatan sejak ia dilancarkan semula pada Julai 2025, dengan mencatatkan ketersediaan perkhidmatan operasi keseluruhan (masa beroperasi berbanding masa operasi dirancang) sebanyak 97.27 peratus dan meningkat kepada 99.93 peratus pada Ogos.
Jumlah penumpang yang menggunakan Aerotrain antara terminal utama dan terminal satelit juga meningkat dengan 1.4 juta penumpang pada Julai dan 1.7 juta penumpang pada Ogos.
Secara kumulatif, tiga unit Aerotrain telah merekodkan purata jarak perjalanan sebanyak 10,586 kilometer (km) pada Julai dan meningkat kepada 10,723 km pada Ogos.
“Dua daripada tren menunjukkan peningkatan jarak operasi pada minggu terakhir Ogos. Sebagai contoh, dalam tempoh 21 hingga 27 Ogos, Tren 1 merekodkan perjalanan sejauh 2,530 km (berbanding 1,765 km pada minggu sebelumnya) manakala Tren 2 mencatatkan 2,373 km (berbanding 2,035 km), sekali gus mencerminkan tahap kebolehpercayaan dan penggunaan yang lebih baik,” katanya.
Mohd Izani berkata pencapaian ini membuktikan usaha berterusan MAHB dalam meningkatkan prestasi sistem dan pengalaman penumpang.
"Bagaimanapun, sebagai pengendali lapangan terbang, kami menjangkakan tahap yang lebih baik. MAHB akan terus bekerjasama dengan Alstom untuk melaksanakan langkah-langkah menyeluruh termasuk kemas kini perisian serta penambahbaikan sistem bagi memastikan gangguan sebegini dapat dikurangkan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata MAHB turut meminta satu pelan penambahbaikan menyeluruh dikemukakan bagi meminimumkan risiko kejadian berulang.
Sementara itu, Pengarah Urusan Negara Alstom Malaysia Sim Ooi Kok berkata syarikat itu bekerjasama rapat dengan pembekal bagi menyokong siasatan terperinci terhadap punca kejadian, yang pada peringkat awal dikenal pasti berpunca daripada komponen CCD.
“Kejadian ini tidak mencerminkan prestasi keseluruhan sistem Aerotrain yang baru dilancarkan semula. Sebagai langkah pencegahan dan pembetulan untuk meningkatkan kebolehpercayaan sistem, semua CCD akan diperiksa setiap hari bagi mengesan sebarang tanda keabnormalan,” katanya.
-- BERNAMA