BERITA TERKINI   Mindef teliti tawaran beberapa negara selesai isu peluru berpandu antikapal dari Norway - Mohamed Khaled | Hubungan kukuh industri pertahanan Malaysia-Turkiye didorong pertukaran pengetahuan dan pemindahan teknologi - Mohamed Khaled. | Sebahagian besar kandungan melibatkan penipuan dan judi dalam talian disebarkan menerusi Facebook - Fahmi | 91 peratus kandungan media sosial minta diturunkan adalah berkaitan scam dan judi dalam talian - Fahmi | Raja Permaisuri Agong sempurnakan penamaan, pelancaran Kapal Misi Pesisir TLDM, Tunku Laksamana Abdul Jalil di Istanbul hari ini | 

Kerajaan Pada Peringkat Akhir Muktamadkan Kriteria Kelayakan Subsidi RON95 - Amir Hamzah 

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan kini pada peringkat akhir untuk memuktamadkan kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 bersama pihak berkepentingan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dirangka dengan teliti bagi memastikan majoriti rakyat yang layak tidak terjejas.

“Kerajaan turut bekerjasama dengan syarikat stesen minyak untuk memastikan sistem bayaran menggunakan MyKad dapat digunakan ketika membuat pengisian bahan api sebaik sahaja (penyasaran) subsidi RON95 dilaksanakan akhir bulan ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Rose Suryati Alang mengenai pendekatan terkini yang diambil bagi subsidi minyak dan kelancaran pelaksanaannya.

Amir Hamzah, yang turut menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata kerajaan akan menggunakan sistem PADU untuk menentukan kelayakan agar hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat subsidi.

“Kita akan umumkan dan laksanakan pada akhir bulan ini dengan jaminan bahawa rakyat yang layak akan menerima subsidi seperti sepatutnya,” katanya.

-- BERNAMA