Tadbir Urus Baik Adalah Aset Strategik Untuk Tarik Pelaburan Dan Kemajuan - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Tadbir urus yang baik harus dilihat sebagai aset strategik, ia merupakan tonggak kredibiliti dalam pasaran kewangan seterusnya menjadi daya tarikan untuk pelaburan dan memberi jaminan bahawa kemajuan akan dikongsi secara adil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Dalam semangat yang sama, Kerajaan MADANI telah melaksanakan pembaharuan untuk Malaysia, kata Anwar.

Justeru, kerajaan telah memperkasakan mandat Jabatan Audit Negara diketuai oleh Ketua Audit Negara menerusi pindaan pertama Akta Audit 1957 (Akta 62) dalam tempoh 33 tahun.

"Ia mungkin bukan pembaharuan glamor tetapi ia adalah sesuatu yang penting," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025.

Kerajaan MADANI juga menubuhkan  Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) untuk menangani isu pelanggaran kritikal dengan pantas, memastikan pesalah bertanggungjawab dan melindungi dana awam.

Sejak 2024, audit susulan telah mengutip semula sebanyak RM159 juta, katanya.

Garis panduan pengauditan tambahan dan memperluaskan kuasa Jabatan Audit Negara kepada mana-mana entiti yang menerima dana awam, kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata pendekatan “follow-the-public-money” itu membantu membendung ketirisan dan rasuah.

“Ia memastikan setiap ringgit dalam belanjawan negara dibelanjakan untuk tujuan yang dimaksudkan,” katanya.

Justeru, tadbir urus yang baik merupakan tonggak utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) 2026-2030.

Selain dasar untuk mendukung cita-cita ekonomi dan mengukuhkan perlindungan sosial, RMK-13 menunjukkan bahawa pembaharuan dalam perkhidmatan awam adalah penting, kata Perdana Menteri.

Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh mencapai tadbir urus bersendirian, ia turut memerlukan sokongan sektor swasta dan badan profesional, katanya.

Sehubungan itu, beliau memuji Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIA Malaysia) kerana melancarkan Panduan Kenyataan Pengurusan Risiko dan Kawalan Dalaman (SORMIC) 2025 bersama Bursa Malaysia, melihatnya sebagai langkah penting.

Ia menyediakan syarikat pelan tindakan untuk menerapkan kesedaran risiko, mengukuhkan keyakinan pelabur dan membuat persediaan untuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta risiko lain yang muncul, katanya.

“Tanggungjawab di hadapan kita adalah besar, bagaimanapun peluang juga luas untuk membina institusi yang mendapat kepercayaan di peringkat tempatan, mendapat penghormatan di luar negara dan mewariskan legasi integriti kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata peranan akauntan dan juruaudit dalaman amat penting serta kekal menjadi teras dalam menghadapi cabaran seperti pandemik, ketidaktentuan ekonomi atau gangguan teknologi, tanpa mengira sama ada sesebuah kerajaan itu stabil atau kaya.

“Kita telah menyaksikan sebelum ini syarikat audit terkemuka atau agensi penarafan dipersoalkan kerana kekurangan integriti, bersekongkol dengan ketirisan semata-mata didorong ketamakan,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan kebertanggungjawaban mesti kekal sebagai tonggak utama bagi memastikan amalan kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah.

“Hasrat kita ialah membawa negara lebih hampir kepada status berpendapatan tinggi serta membina satu daripada ekonomi paling berdaya saing di dunia. Namun, hasrat itu tidak akan berkekalan tanpa keyakinan terhadap institusi kita. Juruaudit di sektor awam dan swasta adalah teras dalam memastikan keyakinan itu terus terpelihara,” katanya.

Anwar berkata tindakan mesti dilaksanakan dengan ketelusan, kebertanggungjawaban dan kepercayaan kerana itulah asas yang membolehkan institusi bertahan, khususnya apabila berdepan ujian.

Beliau menegaskan isu semak dan imbang bukan pilihan, sebaliknya juruaudit dan juruaudit dalaman memainkan peranan penting berdasarkan kemampuan dan integriti mereka.

“Saya sentiasa menekankan keperluan integriti kerana dengan penuh hormat kepada anda semua, kita telah melihat ketirisan berlaku dalam kalangan pemimpin politik, penjawat awam, malah juruaudit sendiri. Justeru, soal integriti dan kebertanggungjawaban mesti menjadi teras kepada kerja kita,” tambahnya.

-- BERNAMA