BERITA TERKINI   Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | Muhyiddin umum letak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026 | 

THMY Holdings Lantik Affin Hwang Investment Bank Sebagai Penaja Jamin IPO

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- THMY Holdings Bhd telah melantik Affin Hwang Investment Bank Bhd (AHIBB) sebagai penaja jamin tunggal untuk cadangan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia, yang disasarkan menjelang suku keempat tahun ini.

THMY, melalui anak syarikatnya, menyediakan penyelesaian ujian automatik untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) termasuk penyelesaian automasi industri serta penyelenggaraan dan perkhidmatan pembaikan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ooi Can Nix melalui satu kenyataan hari ini memberitahu kumpulan itu mahu membina kekuatan teras dalam penyelesaian ujian automatik bagi mengembangkan bahagian pasarannya berdasarkan peningkatan permintaan untuk produk E&E, kecerdasan buatan generatif (AI), pusat data dan infrastruktur digital.

"Sebagai respons kepada peluang ini, kami melaksanakan pelan yang tertumpu ke arah memperluaskan pangkalan pelanggan kami, menembusi segmen pertumbuhan tinggi baharu selain membina sebuah kilang dengan stesen kerja pemasangan tambahan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kami," katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga sedang mengukuhkan penawaran penyelesaiannya melalui inovasi, reka bentuk, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan yang berterusan serta menyepadukan teknologi automasi yang lebih bijak dan cekap.

Ooi menambah THMY merancang untuk membina sebuah kilang baharu bersama-sama dengan stesen kerja pemasangan tambahan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran. 

 IPO tersebut merangkumi terbitan awam sebanyak 143.9 juta saham baharu dan tawaran bagi penjualan 88.8 juta saham sedia ada.

Daripada saham baharu itu, 44.4 juta akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, 23.5 juta kepada pengarah, kakitangan termasuk rakan perniagaan yang layak, 53.8 juta kepada pelabur terpilih melalui penempatan swasta, manakala 22.2 juta lagi kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Tawaran saham itu, mewakili 10 peratus daripada modal saham yang dibesarkan, juga akan ditempatkan dengan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.

Affin Hwang Investment Bank adalah penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO kumpulan berkenaan.

-- BERNAMA