BERITA TERKINI   Sistem Penilaian Prestasi Demerit diperluas kepada semua ketua perkhidmatan, ketua jabatan mulai tahun hadapan - KSN | Poster memaparkan tarikh-tarikh penting PRN Sabah ke-17 yang kini tular di media sosial adalah palsu -  Setiausaha SPR  | ASEAN secara relatif kekal rantau paling aman, kestabilan pulih di Thailand dan Indonesia, serta keyakinan pelabur terus kukuh - PM Anwar | Malaysia zahir kesediaan hubungi pemimpin Islam OIC berhubung serangan Israel ke atas Qatar - PM Anwar | Kerajaan akan beri keutamaan kepada usaha lahir bakat baharu berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi terkini menerusi Belanjawan 2026 - PM Anwar | 

Sektor Perbankan Malaysia Berdaya Tahan Meskipun Pertumbuhan Lembap - S&P Global

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Sektor perbankan Malaysia berkedudukan baik untuk menghadapi ketegangan perdagangan dan pertumbuhan ekonomi yang lembap, dipacu oleh pasaran buruh yang teguh dan kestabilan kewangan isi rumah, menurut S&P Global Ratings.

Agensi penarafan itu menjelaskan pengurusan kos pembiayaan yang aktif oleh kalangan bank dijangkakan dapat mengimbangi kesan persaingan yang sengit, walaupun keteguhan deposit runcit akan menjadi pembeza utama.

“Sektor perbankan dijangka mencatatkan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan iaitu sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang berbanding 5.5 peratus pada 2024,” tambahnya dalam kenyataan hari ini.

Bagi separuh pertama 2025, pertumbuhan pinjaman korporat turun kepada 3.4 peratus susulan ketidaktentuan yang meningkat disebabkan tarif.

Walaupun S&P Global menyatakan dasar tarif kini lebih jelas namun pihaknya menjangkakan permintaan korporat kekal hambar disebabkan keadaan luaran yang mencabar dan boleh menangguhkan rancangan perbelanjaan.

Sebahagian syarikat korporat sedang memanfaatkan pasaran bon susulan kadar faedahnya yang lebih rendah, jelasnya.

“Projek infrastruktur dan pusat data mungkin mencatatkan potensi peningkatan dari segi pertumbuhan dan keuntungan, terutama di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ).

“Walaupun jika kalangan bank tempatan tidak menyediakan pembiayaan akhir, mereka masih boleh menjana pendapatan fi melalui pengaturan atau janji niaga secara bersama,” katanya.

 

Pertumbuhan Kredit Runcit Kekal Stabil

 

S&P Global menjangkakan kredit runcit berkembang lebih pantas berbanding pinjaman korporat, terutama didorong oleh pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan.

Agensi itu menjangkakan pertumbuhan pinjaman tahunan dalam segmen runcit kekal stabil pada sekitar 5.0 hingga 6.0 peratus, disokong oleh kadar pengangguran yang rendah dan kenaikan gaji.

Bank-bank sedang mempertingkatkan tawaran dalam pengurusan kekayaan dan transaksi pertukaran mata wang asing untuk memacu pendapatan bukan faedah lebih tinggi sekali gus positif bagi keuntungan jangka masa panjang, jelasnya.

“Tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan pulangan disesuaikan risiko juga boleh membantu bank-bank mengekalkan keuntungan yang stabil,” menurutnya.

 

Nisbah Pinjaman kepada Deposit Dijangka Meningkat

 

S&P Global menjangkakan nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) pada peringkat sektor akan meningkat kepada 90 hingga 95 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

Agensi penarafan itu juga menjangkakan nisbah pembiayaan kepada deposit bagi bank-bank Islam kekal melebihi 100 peratus, susulan pertumbuhan pembiayaan yang lebih tinggi dan bahagian deposit borong yang lebih besar.

“Kami menjangkakan keadaan pasaran buruh yang kukuh di samping dasar penyusunan semula dan hapus kira yang proaktif oleh bank akan membantu mengekalkan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) pada paras rendah,” menurutnya.

 

Kesan Langsung Tarif Kekal Rendah

 

S&P Global turut menjangkakan kesan langsung daripada kenaikan tarif akan kekal rendah memandangkan pendedahan berkaitan perdagangan adalah kecil iaitu sekitar 3.5 peratus daripada jumlah pinjaman.

Pendedahan bagi PKS berorientasi eksport yang mempunyai kehadiran ketara dalam pasaran AS juga terhad, jelasnya.

Bagaimanapun, PKS masih akan mudah terjejas ekoran kenaikan tarif dan gangguan rantaian bekalan.

“Kami menjangkakan peningkatan NPL yang sederhana sebanyak 20 hingga 25 mata asas menjelang akhir 2026 kepada 1.6 peratus, berpunca daripada tekanan terhadap PKS dan isi rumah berpendapatan rendah,” menurutnya.

-- BERNAMA