BERITA TERKINI   Liga Super: JDT 6-0 Penang | Anak-anak perlu dididik kuasai teknologi AI tanpa abai agama dan budaya untuk pertahan jati diri - PM Anwar | PM sahkan terima jemputan dari Emir Qatar untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Qatar, 15 Sept ini. | Ancaman keselamatan LNG Bintulu tidak jejas pasaran eksport Malaysia - PM Anwar | 

MDV Sasar Pembiayaan RM300 Juta Untuk Projek Peralihan Tenaga Pada Akhir 2025

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) menyasarkan pembiayaan diluluskan sebanyak RM300 juta untuk projek peralihan tenaga di bawah Fasiliti Peralihan Tenaga Negara (NETF) pada akhir 2025.

Menurut MDV dalam kenyataan, sasaran itu termasuk insentif sebanyak RM70 juta untuk memperkukuh kebolehlaksanaan projek melalui mekanisme seperti rebat dan peningkatan kredit.

Projek yang dikenal pasti di bawah NETF termasuklah tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, biogas/biojisim dan mobiliti hijau, semuanya merupakan teras kepada agenda penyahkarbonan Malaysia.

Diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 oleh Kementerian Ekonomi, NETF merupakan komponen utama dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). MDV telah dilantik sebagai agensi pelaksana untuk menguruskan pembiayaan sehingga RM200 juta bagi meningkatkan daya maju projek.

Ketua Pegawai Eksekutif MDV Rizal Fauzi berkata peruntukan RM200 juta itu akan membolehkan syarikat menyokong pembiayaan bernilai antara RM500 juta dan RM700 juta untuk projek yang sejajar dengan NETF.

“Kesan pengganda ini meningkatkan keupayaan kami untuk memacu pembangunan teknologi hijau dan mempercepat usaha peralihan tenaga di Malaysia. 

“MDV menyokong sektor teknologi hijau dengan penyelesaian pembiayaan khusus sejak 2010 dan kami kekal komited terhadap penggunaan dana dengan cekap untuk merapatkan jurang pembiayaan kepada pemain teknologi hijau dan projek peralihan tenaga berpotensi tinggi, sekali gus mempercepat transformasi tenaga bersih Malaysia,” katanya.

Melalui inisiatif ini, MDV menyasarkan untuk menyokong 20 hingga 30 syarikat atau projek antara 2025 dan 2026, dengan pembiayaan RM122.65 juta telah diluluskan, termasuk insentif RM40.09 juta kepada enam syarikat berasaskan teknologi.

NETF terbuka kepada syarikat teknologi berdaftar di Malaysia dengan sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan tempatan, menjalankan projek di Malaysia sekurang-kurangnya pada peringkat prapengkomersialan, disokong oleh bukti konsep atau prototaip dan menunjukkan potensi hasil.

Rizal berkata MDV akan memberi keutamaan kepada inisiatif berimpak tinggi dengan inovasi teknologi, daya maju komersial dan skalabiliti untuk memastikan sejajar dengan matlamat sifar bersih Malaysia.

Sebagai pembiaya teknologi khusus, MDV menyokong sektor teknologi hijau Malaysia melalui inisiatif seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan menyediakan pembiayaan bersasar untuk Kontrak Prestasi Tenaga.

Setakat ini, MDV telah menyediakan pembiayaan sebanyak RM2.13 bilion untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan sektor teknologi hijau Malaysia.

MDV ialah anak syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program NETF MDV, sila layari www.mdv.com.my/netf atau e-mel mdvinfo@mdv.com.my. 

-- BERNAMA