15 Syarikat Malaysia Pamer Produk Teknologi Hijau Di Construction Indonesia 2025
JAKARTA, 11 Sept (Bernama) -- Sebanyak 15 syarikat Malaysia akan mempamerkan bahan pembinaan, penyelesaian teknologi hijau dan inovasi berkaitan pada Construction Indonesia 2025 di Jakarta International Expo di sini dari 10 hingga 13 Sept, 2025.
Ia merupakan satu daripada pameran pembinaan yang terbesar dan paling lama di Indonesia.
Delegasi Malaysia yang mengambil bahagian merangkumi tiga syarikat swasta di bawah agensi standard dan kualiti SIRIM, 11 syarikat swasta dan Jabatan Landskap Negara melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta sebuah lagi syarikat swasta.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin merasmikan Pavilion Malaysia di pameran berkenaan pada Rabu diiringi Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Jakarta Suresh Kumar R. Palasanthiran.
Syed Mohamad Hasrin berkata, beliau berharap syarikat Malaysia dapat menawarkan produk berkualiti masing-masing di Indonesia yang merupakan pasaran penting selain menduduki tangga ketujuh bagi destinasi eksport perkhidmatan pembinaan Malaysia pada tahun lepas.
“Tumpuan pada kali ini berkaitan kelestarian, teknologi hijau serta menyokong pembangunan bandar dan infrastruktur yang selamat serta mampan sekali gus menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata beberapa produk menggunakan bahan asli mesra alam dan sesuai untuk pasaran tempatan memandangkan Malaysia dan Indonesia berkongsi iklim dengan tahap kelembapan serta suhu yang hampir sama.
Construction Indonesia dianjurkan sejak 25 tahun lepas dianggap sebagai penanda aras bagi sektor pembinaan Indonesia serta platform strategik untuk pemain industri tempatan dan antarabangsa.
Berbeza dengan edisi sebelumnya yang didominasi oleh jentera berat, pameran tahun ini turut menampilkan industri sokongan, seni bina dan teknologi pintar.
-- BERNAMA