BERITA TERKINI    PM setuju secara prinsip mempertimbangkan penambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak, perlu rundingan lanjut SPR - TPM Fadillah |  PM setuju secara prinsip penambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak, perlu rundingan lanjut SPR - TPM Fadillah | Pindaan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan bagi beri kuasa kepada Sabah dan Sarawak uruskan sisa buangan terjadual akan dibentangkan di Parlimen Disember ini - TPM Fadillah | 

Ringgit Kekal Stabil Berbanding Dolar AS, Mengukuh Dengan Mata Wang Utama

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Ringgit kekal stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta mengukuh berbanding mata wang utama lain pada akhir urus niaga hari ini, ketika pelabur menunggu pengumuman data penting Indeks Harga Pengguna (IHP) AS, lewat malam ini.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada paras 4.2185/2240 berbanding 4.2185/2220, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) menokok 0.13 peratus kepada 97.906 mata menjelang pengumuman IHP AS berkenaan.,

“Unjuran awal meletakkan angka IHP bagi Ogos pada 2.9 peratus daripada 2.7 peratus sebelum ini (pada Julai) manakala teras IHP dijangka kekal pada 3.1 peratus.

“Ini adalah data penting sebelum berlangsungnya mesyuarat ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 16 dan 17 September ini dengan pasaran meletakkan kebarangkalian tinggi sehingga 108 peratus bagi penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Atas alasan itu, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit bergerak dalam julat kecil dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sebarang angka IHP lebih kukuh daripada jangkaan awal, akan hanya melonjakkan hasil pulangan selain meningkatkan semula dolar AS bagi tempoh sementara.

“Ramai pelabur menjangkakannya susulan semakan semula data pekerjaan dan data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi yang lemah malam tadi dan di luar jangkaan. Perkembangan itu turut menyokong dolar AS dalam bentuk belian baharu,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit ditutup mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ini termasuk meningkat berbanding euro kepada 4.9293/9357 daripada 4.9416/9457, naik berbanding yen Jepun kepada 2.8509/8548 daripada 2.8614/8639 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6954/7028 daripada 5.7127/7174 semalam.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.2829/2874 daripada 3.2883/2912, naik berbanding baht Thailand kepada 13.2432/2663 daripada 13.2699/2872 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.39 daripada 7.38/7.39 sebelum ini.

Namun, ringgit susut sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 256.2/256.7 daripada 256.1/256.4.

-- BERNAMA