BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Pengeluaran Getah Asli Meningkat 36.7 Peratus Pada Julai - DOSM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pengeluaran getah asli meningkat sebanyak 36.7 peratus pada Julai 2025 kepada 35,884 tan berbanding 26,249 tan pada Jun 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada asas tahun ke tahun, pengeluaran getah asli merosot sebanyak 5.5 peratus (Julai 2024: 37,960 tan).

Katanya, pengeluaran pada Julai 2025 terutamanya disumbangkan oleh sektor pekebun kecil (86.8 peratus), berbanding sektor estet sebanyak 13.2 peratus.

“Jumlah stok getah asli pada Julai 2025 meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada 171,061 tan, daripada 168,448 tan pada Jun 2025,” kata Mohd Uzir dalam satu kenyataan mengenai perangkaan getah bulanan, Julai 2025 hari ini.

Beliau menambah, kilang pemprosesan getah menyumbang sebanyak 85.1 peratus kepada stok akhir, diikuti oleh kilang pengguna getah (14.8 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Mengenai eksport, katanya, getah asli Malaysia berjumlah 37,198 tan dieksport pada Julai 2025, iaitu peningkatan 25.2 peratus berbanding Jun 2025 (29,719 tan)

China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, sebanyak 47.3 peratus daripada jumlah eksport pada Julai 2025, diikuti Jerman (15.0 peratus), India (6.7 peratus), Amerika Syarikat (AS) (6.1 peratus) dan Mesir (3.0 peratus). 

“Prestasi eksport didorong oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub, benang getah. Sarung tangan merupakan eksport utama, dengan jumlah sebanyak RM1.3 bilion pada Julai 2025, meningkat 49.3 peratus berbanding RM0.9 bilion pada Jun 2025,” katanya. 

Selain itu, DOSM berkata analisis harga purata bulanan menunjukkan bahawa lateks pekat merekodkan peningkatan 2.3 peratus (Julai 2025: 571.30 sen sekilogram; Jun 2025: 558.66 sen sekilogram), manakala sekerap naik empat peratus (July 2025: 586.68 sen sekilogram; Jun 2025: 564.13 sen sekilogram). 

Aliran harga bagi semua Getah Mutu Malaysia (GMM) turut meningkat, iaitu antara 2.3 peratus dan 8.8 peratus. 

Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan bahawa harga bagi Technically Specified Rubber (TSR) 20 meningkat 4.4 peratus daripada US$1.61 sekilogram kepada US$1.68 sekilogram, manakala getah Singapura/ Malaysia meningkat 3.3 peratus, daripada US$2.16 sekilogram kepada US$2.23 sekilogram.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest yang diterbitkan pada Julai 2025, Pasaran Getah Kuala Lumpur meningkat pada Julai sebelum beransur-ansur menurun menjelang akhir bulan. 

Peningkatan disokong oleh kebimbangan mengenai bekalan getah asli berikutan hujan lebat di beberapa wilayah pengeluar utama, permintaan yang semakin meningkat, perkembangan dalam perjanjian perdagangan AS, dan keyakinan mengenai langkah rangsangan China. 

Selain itu, katanya, sentimen pasaran turut meningkat susulan permintaan getah yang sederhana berdasarkan jangkaan Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANPRC) dan perkembangan dalam industri automobil global.

-- BERNAMA