Bursa Lepasi Paras 1,600 Susulan Pelabur Bersedia Menjelang Cuti Panjang Akhir Minggu

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia mencecah paras 1,600 dan ditutup pada paras tertinggi hariannya, meningkat 1.1 peratus berikutan pelabur menjangka Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan kadar seawal minggu depan, menjadikan aset dalam denominasi ringgit lebih menarik berdasarkan asas pelarasan mata wang.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 17.28 mata kepada 1,600.13 daripada  1,582.85 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 5.19 mata lebih tinggi pagi ini, diniagakan antara 1,585.06 dan 1,600.04, sebelum berada pada paras tertinggi harian.

Dalam pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 639 daripada 394 manakala 494 kaunter tidak berubah, dengan 1,095 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Bagaimanapun jumlah dagangan berkurangan kepada 2.23 bilion unit bernilai RM2.10 bilion daripada 2.48 bilion unit bernilai RM2.32 bilion semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata jangkaan berlaku perubahan dalam dasar monetari AS telah menaikkan bursa tempatan.

“Dengan kadar inflasi AS yang stabil dan pasaran pekerjaan mula menunjukkan kelemahan, Fed dilihat bersedia untuk menurunkan kadar faedah seawal minggu depan.

“Pendekatan dasar kewangan yang longgar adalah penting untuk dana global, terutama ketika ekuiti AS telah meningkatkan sentimen hampir semua pasaran termasuk Malaysia," katanya kepada Bernama.

Innes berkata unjuran jangka pendek Bursa Malaysia adalah optimistik kerana dasar Fed yang kurang agresif akan melemahkan dolar AS, yang seterusnya menjadikan aset dalam denominasi ringgit lebih menarik.

"Aliran dana ini penting bagi dana global, terutama ketika saham-saham AS diniagakan pada penilaian yang tinggi.

“Saham-saham di pasaran ASEAN masih lebih rendah justeru memberi peluang semula jadi untuk pelabur global memindahkan pelaburan mereka, dan indeks Malaysia mendapat manfaat daripada peralihan peruntukan ini.

Bursa Malaysia akan ditutup pada 15 September, iaitu cuti umum tambahan sempena Hari Malaysia pada 16 September dan menyambung semula operasi pada 17 September.

 Setakat ini, Kospi Korea Selatan menambah 1.35 peratus kepada 3,389.46 dan Nikkei 225 Jepun meningkat 1.05 peratus kepada 44,838.65 tetapi Hang Seng Hong Kong rendah 0.43 peratus kepada 26,086.32, dan Indeks Strait Times Singapura menyusut 0.33 peratus kepada 4,341.66.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 10 sen kepada RM9.87, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.25, CIMB menambah 13 sen kepada RM7.37 dan Tenaga Nasional meningkat 16 sen kepada RM13.38.

Bagi saham aktif, Pharmaniaga naik setengah sen pada 25 sen, VS Industry rendah setengah sen kepada 54.5 sen, Tanco dan Velesto masing-masing naik 1.5 sen kepada 82.5 sen dan 23 sen.

Kaunter paling untung hari ini diterajui oleh Nestle, melonjak RM2.40 kepada RM97.90, Telekom naik 71 sen pada RM7.73, KSL Holdings meningkat 50 sen kepada RM2.47.

Hong Leong Industries dan PPB Group adalah kaunter paling rugi, masing-masing rendah 18 sen dan 17 sen kepada RM13.60 dan RM9.93.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 75.83 mata kepada 16,544.57 manakala Indeks FBM ACE naik 52.56 mata kepada 4,802.27 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok  114.35 mata kepada 11,890.29.

Indeks FBM Emas melonjak 107.68 mata kepada 11,862.72 dan Indeks FBMT 100 meningkat 107.97 mata kepada 11,623.77.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.95 mata kepada 165.28, Indeks Perladangan menokok 13.98 mata kepada 7,699.54 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 115.16 mata kepada 18,068.42 dan Indeks Tenaga meningkat 5.37 mata kepada 742.90.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.34 bilion unit bernilai RM1.87 bilion daripada 1.39 bilion unit bernilai RM2.04 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 519.23 juta unit bernilai RM83.64 juta daripada 771.31 juta unit bernilai RM135.34 sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 369.5 juta bernilai RM143.0 juta daripada 314.81 juta bernilai RM141.82 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 209.00 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (232.11 juta), pembinaan (109.18 juta), teknologi (162.90 juta), perkhidmatan kewangan (52.79 juta), hartanah (161.81 juta), perladangan (28.66 juta),  REIT (23.46 juta), dana tertutup (546,800), tenaga (129.37 juta), penjagaan kesihatan (109.59 juta), telekomunikasi dan media (38.23 juta), pengangkutan dan logistik (33.90 juta),utiliti (44.22 juta), dan amanah perniagaan (13,600).

-- BERNAMA