BERITA TERKINI   Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | Ahli Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) negeri terima sumbangan RM10,000, GKMM terima RM30,000 - Fahmi | 

Malaysia, Indonesia Setuju Tebedu-Entikong Jadi Laluan Perdagangan - Abang Johari

KUCHING, 14 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk membuka laluan perdagangan rasmi antara Tebedu di barat daya Sarawak dan Entikong di Kalimantan, merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama ekonomi rentas sempadan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata persetujuan itu dicapai pada mesyuarat dua hala di Jakarta baru-baru ini, apabila beliau menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbincangan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

“Dalam perbincangan itu, saya membangkitkan perkara berkaitan Tebedu dan Entikong sebagai pintu masuk perdagangan yang berpotensi dan pihak berkuasa mereka terbuka kepada cadangan tersebut.

“Beliau (Prabowo) berkata, mari membukanya untuk perniagaan antara Malaysia dan Indonesia melalui Tebedu dan Entikong. Ini bermakna ia menjadi pusat perdagangan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Asrama Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Sambutan Ulang Tahun ke-70 DBNA di sini malam semalam.

Turut hadir Penasihat DBNA Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, yang juga Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak serta Presiden DBNA Datuk Ik Pahon Joyik.

Abang Johari berkata inisiatif itu boleh membuka laluan kepada kerjasama antara Sarawak dan Indonesia dalam membangunkan sektor ekonomi di sepanjang sempadan, terutamanya memberi manfaat kepada komuniti Bidayuh di kawasan tersebut.

Beliau berkata Sarawak telah membekalkan elektrik ke Kalimantan dan negara jiran itu telah menyatakan minat untuk memperluas sambungan bekalan tenaga dari Lubok Antu di Sri Aman ke Badau di Kalimantan Barat.

“Ini memerlukan kita untuk memperkukuh kapasiti tenaga. Dengan langkah sedemikian, ia akan mewujudkan asas kepada kerjasama yang lebih meluas dengan Indonesia, terutamanya dalam membina ekonomi bersepadu dalam rangka kerja Asia,” katanya.

Beliau berkata pembangunan Tebedu dan Entikong sebagai laluan perdagangan akan membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan, tenaga dan kerjasama serantau yang memacu Malaysia dan Indonesia ke arah ekonomi moden, berdaya tahan dan bersepadu.

“Ekonomi masa depan kita akan menjadi lebih kukuh dan lebih berdaya saing, menempatkan kita pada kedudukan untuk memainkan peranan penting dalam ekonomi serantau bernilai tinggi,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari mengumumkan tambahan RM4 juta untuk melengkapkan asrama komuniti itu menjadikan kos keseluruhan projek tersebut berjumlah RM20 juta termasuk perabot dan kemudahan keperluan lain. 

Projek asrama bernilai RM16 juta itu mula dibangunkan pada 2021. Bangunan sembilan tingkat itu terdiri daripada kemudahan penginapan, galeri dan bilik majlis serta telah siap pada tahun ini.

-- BERNAMA