BERITA TERKINI   Dua lagi mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, angka korban kini tujuh - Polis | Banjir Sabah: PM Anwar seru semua pihak bersatu, berpadu tenaga serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu rakyat | PM Anwar arahkan seluruh jentera Kerajaan MADANI digerakkan segera bantu rakyat yang terjejas banjir di Sabah | Banjir Sabah: PM Anwar lulus peruntukan segera RM10 juta melalui NADMA untuk disalur kepada mangsa yang terkesan | Empat lagi mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, angka korban meningkat kepada lima - Jurucakap bomba | 

Pelabuhan Kuantan Jadi Pangkalan Penting Perdagangan Dengan China, Thailand, Laos, Vietnam - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Pelabuhan Kuantan akan menjadi pangkalan penting bagi perdagangan dengan China serta kawasan pantai Thailand, Laos dan Vietnam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah memperluas Pelabuhan Kuantan adalah tepat pada masanya memandangkan sebahagian besar daripada pembangunan negara telah tertumpu di pantai barat.

Projek itu yang dibangunkan di bawah program bandar berkembar dengan China dijangka meningkatkan peranan pantai timur sebagai hab pertumbuhan baharu.

“Ya, ia mesti diperluaskan. Saya berpandangan bahawa ini merupakan keputusan yang bijak," kata beliau  semasa ditemu bual pengacara CGTN Zheng Junfeng baru-baru ini.

Menurut Anwar pada masa ini Pelabuhan Klang berada dalam kalangan 10 pelabuhan terbaik dunia manakala dua lagi pelabuhan Malaysia sedang meningkatkan kedudukan di peringkat global.

“Bagi Malaysia iaitu sebuah negara yang agak kecil, ini adalah pencapaian yang luar biasa,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata Pelabuhan Kuantan berpotensi besar memandangkan pelabuhan ini akan mengubah kawasan yang sebelum ini terpinggir menjadi pusat pertumbuhan penting.

Pada 10 Jun 2024, Pelabuhan Kuantan telah memeterai perjanjian dengan Malaysian Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk bekerjasama dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang akan membolehkan pengangkutan kargo beralih daripada jalan raya kepada rel melalui pelabuhan itu.

Laluan cabang ECRL yang akan bersambung terus ke Pelabuhan Kuantan dijangka menambah baik pergerakan barangan dan meningkatkan kesalinghubungan dan kecekapan antara pantai timur dan barat Malaysia.

-- BERNAMA