BERITA TERKINI   Malaysia berpotensi muncul sebagai hab pendaratan ikan tuna di rantau ini susulan usaha kerajaan perkukuh industri hiliran - TPM Ahmad Zahid | TPM Ahmad Zahid arah pemasangan jambatan Bailey disegerakan bagi elak gangguan perhubungan di Sungai Kaiduan, Papar, Sabah | PM Anwar gesa semua negara Islam supaya terus kuat, bersatu menentang Israel | Peruntukan RM2 juta diluluskan untuk gerakkan inisiatif Pendekar MADANI - PM Anwar | Kerajaan pastikan usaha perkasa silat, melibat penyelarasan di sekolah, politeknik, IPT dan IPG - PM Anwar | 

SCEKL25: Shengzhiyuan Sasar Pasaran Malaysia Untuk Penyelesaian Trafik Pintar

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- China Shengzhiyuan Intelligent Technology Co. Ltd. menyasarkan Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 17 hingga 19 Sept sebagai platform untuk memperluas pasaran di Malaysia.

Pengerusi Shengzhiyuan Mashui Kang berkata syarikat itu berjaya menyelesaikan cabaran trafik di bandar Zhengzhou yang didiami jutaan penduduk menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Menerusi anak syarikat SZY Smart Traffic Technology Sdn Bhd, firma itu kini menumpukan kepada pasaran di  Malaysia, dengan menawarkan penyelesaian pintar berasaskan AI yang bertujuan mengurangkan kesesakan serta menambah baik pengurusan trafik secara masa nyata.

“Kami yakin teknologi yang ditawarkan boleh disesuaikan dengan keadaan di Malaysia, berdasarkan  transformasi di Zhengzhou selain disokong lebih 200 paten daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pendapatan tahunan dua hingga tiga bilion yuan (satu yuan = RM0.59).

“Meskipun setiap bandar mempunyai cabaran tersendiri, pendekatan modular yang menggabungkan persepsi, analisis, keputusan dan pelaksanaan membolehkan kami menyesuaikan penyelesaian mengikut keperluan tempatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kang berkata syarikat itu bersedia mengetengahkan cadangan kepada kerajaan dan pihak berkepentingan selain Shengzhiyuan juga merancang mewujudkan kemudahan pembuatan di Malaysia, yang pertama seumpamanya di luar negara.

Shengzhiyuan menumpukan empat bidang utama - pengangkutan pintar melalui kawalan trafik yang canggih dan penyelarasan kenderaan di jalan raya, pencahayaan pintar, keselamatan pintar melalui pemantauan berprestasi tinggi serta e-polisi, dan perlindungan alam sekitar pintar menggunakan pemantauan berasaskan data.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Qingguo Kang menyentuh mengenai pencapaian syarikat itu di Zhengzhou, Henan apabila sebanyak 1,717 lampu isyarat dinaik taraf sekali gus meningkatkan kecekapan  16 hingga 30 peratus serta mengurangkan kelewatan 17 peratus.

“Menyelaraskan lampu hijau dapat mengurangkan trafik berhenti sebanyak 30 peratus, manakala projek pencahayaan pintar berjaya menurunkan penggunaan tenaga sebanyak 60 peratus dan mempercepat masa respons kerosakan kepada dua jam berbanding 24 jam,” katanya.

Beliau berkata bandar di seluruh dunia kini berdepan cabaran semakin meningkat seperti kesesakan, penggunaan tenaga berlebihan dan tekanan terhadap alam sekitar.

Sehubungan dengan itu, pendekatan bersepadu itu menawarkan penyelesaian berskala dan modular yang boleh disesuaikan untuk bandar-bandar di Asia Tenggara, termasuk bandar raya Kuala Lumpur.

-- BERNAMA