Bursa Malaysia Akhiri Sesi Dagangan Pagi Lebih Rendah
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Khamis dengan lebih rendah apabila tidak mengekalkan paras 1,600, diheret turun oleh jualan berterusan dalam kebanyakan kaunter wajaran tinggi.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.99 mata kepada 1,598.71 daripada 1,611.70 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka rendah 4.84 mata kepada 1,606.86, dan diniagakan antara 1,597.72 dan 1,606.86 sepanjang sesi dagangan pagi.
Pasaran meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 476 berbanding 378 manakala 478 kaunter tidak berubah, 1,304 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan berjumlah 1.40 bilion unit bernilai RM1.10 bilion.
Sentimen pasaran dijangka mencerminkan prestasi bercampur-campur di Wall Street dalam tempoh semalaman berikutan langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menurunkan kadar faedah, serta petunjuk bahawa dua lagi penurunan akan dilaksanakan tahun ini bagi menyokong pasaran buruh.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan berkata pihaknya menjangka FBM KLCI akan terus diniagakan lebih tinggi hari ini berikutan mudah tunai global yang semakin baik dijangka memberi kesan positif kepada pasaran Asia dan pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia.
“Bagaimanapun, dengan pelaksanaan tarif sebanyak 19 peratus pada 1 Ogos serta penyusutan dolar AS, kami yakin sektor berorientasikan eksport akan terjejas dalam prestasi kewangan akan datang,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH masing-masing menyusut lima sen kepada RM9.89 dan RM7.31. Public Bank pula berkurangan tiga sen kepada RM4.27 dan Tenaga rendah 14 sen kepada RM13.30 manakala CIMB menambah tiga sen kepada RM7.35.
Bagi dagangan aktif, Tanco naik satu sen kepada 85 sen, MClean dan Notion masing-masing meningkat 2.5 sen kepada 49 sen dan 58.5 sen manakala Pharmaniaga dan L&P Global masing-masing berkurangan setengah sen kepada 27 sen dan 11 sen.
Kaunter paling rugi adalah Nestle yang menyusut RM2.76 kepada RM95.14, diikuti Petronas Dagangan yang rendah 70 sen kepada RM22.28. Dutch Lady pula berkurangan 22 sen kepada RM27.14, Petronas Chemicals susut 12 sen kepada RM4.33 dan Ralco rendah 8.5 sen kepada 91 sen.
Antara kaunter paling untung menyaksikan Allianz naik 40 sen kepada RM18.90, Hong Leong Industries meningkat 28 sen kepada RM13.88 dan Formosa naik 24 sen kepada RM1.77 manakala KSL dan MPI masing-masing meningkat 12 sen kepada RM2.72 dan RM28.62.
Di pasaran lebih luas menyaksikan Indeks FBM Emas susut 60.87 mata kepada 11,883.12, Indeks FBMT 100 rendah 65.27 mata kepada 11,634.97 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 43.46 mata kepada 11,892.94.
Indeks FBM 70 meningkat 35.90 mata kepada 16,656.00 manakala Indeks FBM ACE susut 23.08 mata kepada 4,826.95.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.99 mata kepada 166.56 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 107.80 mata kepada 18,134.34 manakala Indeks Tenaga menokok 2.67 mata kepada 753.41 dan Indeks Perladangan meningkat 9.43 mata kepada 7,724.77.
-- BERNAMA