BERITA TERKINI   Liga Super: Imigresen FC 1-1 Negeri Sembilan FC | Malaysia secara rasmi menyerahkan jawatan Presiden AIPA kepada Filipina | 

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Khamis berikutan pasaran niaga hadapan getah serantau yang lemah dan harga minyak mentah yang lebih rendah, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran bertukar negatif selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kadar faedah dan memberi isyarat akan ada pemotongan seterusnya.

“Bagaimanapun, penurunan harga komoditi itu yang seterusnya dalam pasaran dikekang oleh penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS dan langkah rangsangan ekonomi China,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran niaga hadapan getah Jepun rendah pada Khamis, dipengaruhi oleh pengukuhan baht Thailand dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap daya saing eksport di hab pengeluaran automotif utama yang menekan margin pengeluar kereta.

Peniaga itu berkata harga minyak jatuh untuk sesi kedua susulan pemotongan kadar faedah oleh Fed AS, dengan peniaga terus bimbang berhubung ekonomi AS dan lebihan bekalan.

Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent susut 0.1 peratus kepada US$67.89 setong.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 14.5 sen kepada 726.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 1.0 sen kepada 577.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA