BERITA TERKINI   Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | Muhyiddin umum letak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026 | 

Malaysia Setuju Kecualikan Beberapa Produk Makanan Palestin Daripada Duti - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Malaysia bersetuju secara prinsip untuk mengecualikan beberapa produk pertanian dari Palestin daripada dikenakan duti kastam, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

"Malaysia berdiri teguh bersama Palestin dalam usaha membangunkan semula ekonominya dan meletakkan asas kepada pemulihan sosioekonomi.

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan Palestin bagi merealisasikan manfaat bersama untuk rakyat kedua-dua negara," katanya ketika majlis pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara Malaysia dan Palestin bagi kerjasama perdagangan dan ekonomi, di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata MOU itu menjadi bukti visi bersama Malaysia dan Palestin bagi mewujudkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang mampan, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi, seperti industri halal, ekonomi digital serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob mewakili Malaysia dalam pertukaran MOU tersebut bersama Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, MITI berkata Malaysia dan Palestin bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala dan ekonomi menerusi MOU tersebut, yang menjadi asas kepada kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi, sekali gus membuka peluang baharu untuk sektor perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.

“MOU ini juga bertujuan meningkatkan keupayaan menerusi latihan, pertukaran kepakaran serta galakan kepada kerjasama sektor swasta,” kata kementerian itu.

Majlis hari ini turut mengukuhkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong ketahanan dan pemulihan ekonomi Palestin melalui pembangunan zon industri, pengukuhan PKS serta peluasan kerjasama dalam bidang industri halal, pelancongan, tenaga dan ekonomi digital.

Palestin merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat pada 2024.

"Eksport utama Palestin termasuk plastik dan makanan berproses, manakala import utama dari Palestin ialah produk pertanian seperti buah kurma.

“Malaysia dengan ini komited untuk memperkukuh lagi hubungan ekonomi dengan Palestin bagi menyokong aspirasi pembangunan dan ketahanan negara itu, selaras dengan prinsip solidariti dan kemakmuran bersama,” kata MITI.

-- BERNAMA