Ringgit Susut Susulan Pengukuhan Dolar AS, Meningkat Berbanding Mata Wang Utama Lain
Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang mengukuh semula selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) bertindak menurunkan kadar faedah utama, kata ahli ekonomi.
Pada 6 petang ini, ringgit berada di paras 4.2040/2115 berbanding dolar AS, susut daripada 4.1945/1995 yang dicatatkan semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit juga telah melepasi paras psikologi 4.20 yang menunjukkan aliran pengukuhan baru-baru ini hanya bersifat sementara ketika pihak Fed terus mengekalkan pendirian berhati-hati dalam melonggarkan dasar monetari di negara maju itu.
“Paras 4.20 berbanding dolar AS itu kelihatan sebagai titik psikologikal penting yang berkemungkinan dilepasi ringgit apabila jangkaan terhadap tindakan Fed itu menjadi lebih ketara.
“Kami menjangkakan mata wang negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit akan menerima tarikan seterusnya jika Fed dilihat sebagai ketinggalan (dalam reaksi terhadap dasar monetari),” katanya kepada Bernama.
Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.8419/8471 daripada 2.8484/8520 semalam, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6775/6876 daripada 5.7238/7306 dan meningkat berbanding euro kepada 4.9447/9536 daripada 4.9654/9714.
Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2744/2805 daripada 3.2800/2842 sebelum ini dan mengukuh kepada 253.2/253.8 berbanding rupiah Indonesia daripada 253.7/254.2.
Unit tempatan itu bagaimanapun susut nilai berbanding baht Thailand kepada 13.1973/2271 daripada 13.1903/2114 semalam dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.38 daripada 7.35/7.36, semalam.
-- BERNAMA