Sektor Perbankan Komited Salur Bantuan Kewangan Untuk Pelanggan Terjejas Di Sabah

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) – Industri perbankan telah berikrar untuk menyalurkan bantuan kewangan dan bantuan lain kepada masyarakat di Sabah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) berkata bank ahli mereka telah mengambil langkah termasuk penangguhan pinjaman dan pembiayaan, penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman dan pembiayaan, penggantian percuma dokumen dan kad bank, pakej pembiayaan khas untuk pemulihan serta pengecualian yuran pembayaran lewat.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua persatuan itu melahirkan rasa simpati mereka kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal, mata pencarian dan orang tersayang dan menyatakan akan bersama setiap individu dan komuniti terjejas akibat bencana itu.

Ia berkata bank yang mengambil bahagian juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk menghantar makanan, air bersih dan bekalan penting lain di lapangan.

"Kami faham bahawa pemulihan mengambil masa, dan bank-bank yang menjadi ahli kami terus komited untuk menyokong pelanggan dan komuniti yang terjejas. Kami menggalakkan sesiapa yang mengalami kesukaran atau menghadapi cabaran untuk tampil ke hadapan dan melibatkan diri dengan bank mereka untuk meneroka pilihan yang ada," kata kenyataan itu.

ABM dan AIBIM menambah bahawa bantuan mereka termasuk menawarkan sokongan dan nasihat mengenai dana bantuan banjir, tuntutan insurans dan takaful serta bantuan perbankan yang tersedia.

-- BERNAMA