BERITA TERKINI   Liga Super: DPMM FC 0-4 KL City | 

Pelabur Asing Kekal Beli Bersih Di Bursa Malaysia, Catat Aliran Masuk RM492.1 Juta

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Pelabur asing masih menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia minggu lepas, meneruskan pembelian bersih selama dua minggu berturut-turut dengan aliran masuk bersih RM492.1 juta, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

MBSB IB menjelaskan minggu lepas adalah merupakan minggu dagangan singkat memandangkan pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti umum tambahan dan kelepasan am Hari Malaysia.

Menurutnya, pelabur asing ialah pembeli bersih bagi dua daripada tiga hari dagangan minggu lepas, dengan Rabu mencatatkan aktiviti pembelian bersih tertinggi bernilai RM348.69 juta, diikuti pada Jumaat (RM205.30 juta), manakala satu-satunya hari dengan airan keluar berlaku pada Khamis (RM61.9 juta).

“Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk asing bersih minggu lepas adalah pengangkutan dan logistik (RM131.8 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM126.9 juta) serta teknologi (RM117.1 juta).

“Hanya dua sektor yang merekodkan aliran keluar asing bersih iaitu perkhidmatan kewangan (RM154.7 juta), dan penjagaan kesihatan (RM38.1 juta),” menurut bank pelaburan itu dalam Laporan Aliran Dana mingguan bagi minggu berakhir 19 Sept, 2025.

MBSB IB turut memaklumkan institusi tempatan meneruskan penjualan bersih selama dua minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih RM337.6 juta.

Pelabur runcit tempatan juga meneruskan penjualan bersih selama dua minggu berturut-turut, dengan aliran keluar bersih RM159.5 juta.

“Selain itu, jumlah dagangan harian purata (ADTV) meningkat bagi semua kumpulan pelabur minggu lepas. Pelabur asing mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 88.3 peratus, manakala pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing merekodkan peningkatan sebanyak 21.2 peratus dan 19.0 peratus,” tambahnya.

-- BERNAMA