Syarikat Perabot Malaysia Lepasi Sasaran Jualan RM200 Juta Di INDEX Saudi Arabia 2025
KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kalangan syarikat Malaysia merekodkan jualan bernilai RM205.83 juta di INDEX Saudi Arabia 2025 yang diadakan baru-baru ini sekali gus mengatasi sasaran RM200 juta.
Dalam kenyataan pada Isnin, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjelaskan jualan serta merta adalah RM14.6 juta, manakala RM191.2 juta pula merupakan jualan yang berpotensi.
Menurutnya, delegasi itu juga menerima 721 pertanyaan perdagangan sekali gus menunjukkan minat yang mendalam terhadap perabot buatan Malaysia.
“Pencapaian yang mengagumkan ini merupakan kejayaan penting dalam usaha berterusan industri untuk mempelbagaikan pasaran eksport dan mengurangkan kebergantungan kepada rantau tradisional.
“Tempoh penyertaan juga amat strategik, membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Arab Saudi yang dinamik, didorong oleh inisiatif cita-cita tinggi seperti Visi Saudi 2030 dan persiapan Piala Dunia FIFA 2034,” menurut kenyataan itu.
Pavilion Malaysia di INDEX Saudi Arabia 2025 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Sept, 2025 telah mengetengahkan 14 syarikat, dengan enam daripadanya menyertai acara itu secara langsung menerusi MATRADE.
Rakan utama termasuk anak syarikat Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, CTCS Worldwide Sdn Bhd, dan Persatuan Pengekport, Pengilang dan Pereka Perabot Malaysia (MEDA), yang turut menampilkan produk daripada lapan syarikat lain.
MATRADE menjelaskan eksport perabot Malaysia ke Arab Saudi mencecah RM119.7 juta dalam tujuh bulan pertama tahun ini, meningkat 16.6 peratus daripada angka tahun lepas.
Hasil positif daripada INDEX Saudi Arabia 2025 menjadi petunjuk jelas bagi potensi pasaran yang luas dan masih belum diteroka sepenuhnya, tambahnya.
-- BERNAMA