BERITA TERKINI   Perdagangan barangan ASEAN mencecah US$3.84 trilion, berkembang hampir 9 peratus, manakala perdagangan perkhidmatan berjumlah US$1.3 trilion dengan pertumbuhan 12 peratus -- Tengku Zafrul | KDNK ASEAN cecah US$3.9 trilion pada 2024, berkembang 4.8 peratus, tarik US$226 bilion pelaburan langsung asing – Tengku Zafrul | Negara Anggota ASEAN berharap dapat bekerjasama rapat dengan ASEAN-BAC bagi memastikan dasar kekal relevan, memudahkan dan sejajar dengan realiti perniagaan di rantau ini -- Tengku Zafrul | Pelaksanaan RMK13 akan kurangkan jurang pembangunan antara negeri melalui agihan perbelanjaan pembangunan - Amir Hamzah | Tumpuan pengagihan perbelanjaan pembangunan kerajaan akan terus diberikan kepada negeri kurang membangun - Amir Hamzah | 

ASEAN Perlu Perkasa Dan Kembangkan MNC Teknologi Serantau, Global - Liew

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- ASEAN tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada model pelaburan langsung asing (FDI), sebaliknya perlu memperkukuh pelaburan dalam syarikat teknologi tempatan demi menjamin masa depan ekonomi serantau.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata wujud tanggapan yang tidak tepat bahawa teknologi harus mesti datang dari luar dan ASEAN hanya berfungsi sebagai tapak pengeluaran.

"Jika lebih banyak pelaburan disalurkan kepada (syarikat) teknologi ASEAN, kita berpotensi melihat lebih banyak syarikat yang mampu berkembang sebagai MNC serantau, malah di peringkat global.

"Potensi tersebut sememangnya wujud, namun kita perlu usaha yang menyeluruh bagi menghubungkan pembiayaan, teknologi dan dasar perindustrian bagi membentuk pasaran yang kukuh di ASEAN," kata Liew pada sidang media selepas pelancaran Majlis Pasaran Swasta ASEAN (APMC) di sini hari ini.

 APMC merupakan antara 12 inisiatif yang diterajui oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) bagi menangani halangan struktur yang sekian lama menyekat kemajuan pasaran modal ASEAN.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, ASEAN-BAC berkata antara halangan utama berkenaan termasuk kerangka peraturan yang tidak seragam antara negara anggota, pengurusan dana tempatan yang lemah, kekurangan peluang pelaburan berskala besar, persekitaran keluar pelaburan yang tidak memberi pulangan yang memuaskan serta kemerosotan minat pelabur global terhadap pengumpulan dana di rantau ini.

Lebih 20 institusi pasaran kewangan swasta utama dari negara-negara ASEAN telah menyatakan komitmen untuk menjadi ahli pengasas APMC, kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Liew berkata pelancaran APMC adalah bagi membuka potensi pelaburan serantau, termasuk pelaburan dalam sektor teknologi ASEAN selain membantu mewujudkan kepentingan awam di rantau ini.

"Saya berharap untuk melihat pelaburan ini akan menyokong peralihan hijau di ASEAN, sama ada dalam teknologi baharu, penyelesaian yang inovatif, menguji kaedah baharu atau inovasi lain bagi menyokong peralihan hijau.

"Ia juga harus melibatkan pelaburan secara pembiayaan campuran bagi grid tenaga ASEAN, agar tenaga yang disalurkan bukan sahaja melalui model pembeli tenaga tunggal, tetapi ke seluruh pelusuk rantau ini, sekali gus membolehkan pertumbuhan seimbang dan memberi peluang kepada negara kurang membangun untuk maju dalam lima, 10 atau 15 tahun akan datang,” katanya.

Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Nazir Razak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Protem APMC berkata kajian McKinsey menunjukkan bahawa pasaran swasta ASEAN hanya merangkumi 0.5 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) rantau ini, berbanding purata global sebanyak 1.5 peratus.

“Jurang ini mungkin kelihatan kecil, tetapi realitinya ASEAN hanya beroperasi pada satu pertiga keupayaan sebenar dalam membiayai syarikat berinovasi dan berpotensi tinggi,” katanya.

Beliau pada masa sama menganggarkan sehingga US$60 bilion perlu disuntik ke dalam dana ekuiti swasta dan teroka ASEAN bagi mencapai purata global tersebut.

“APMC ditubuhkan untuk memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab pasaran swasta yang diiktiraf dunia dengan cara menyepadukan, memudahkan dan meningkatkan aliran modal ke pasaran swasta, mempertingkat tadbir urus serta merangsang inovasi,” kata Nazir.

Justeru itu, kata beliau, APMC akan mempromosi ASEAN di pentas antarabangsa, memperkukuh kerjasama dengan pelabur serantau dan global, menggesa pengawal selia agar mengurangkan kekangan peraturan, menyelaras pembangunan penyelidikan dan penanda aras serta memperluas penyertaan ke bandar sekunder dan pasaran hadapan di rantau ini.

-- BERNAMA