BERITA TERKINI   Kerajaan tidak hadkan pembelian RON95 sekali sehari - Kementerian Kewangan | Kerajaan tidak bercadang untuk hadkan pembelian RON95 sekali sehari - Kementerian Kewangan | 

FBM KLCI Ditutup Tinggi Disokong Kenaikan Dalam Saham Pembinaan, Kewangan

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi pada Isnin, disokong oleh pembelian berterusan dalam kaunter wajaran tinggi dalam sektor pembinaan, utiliti dan perkhidmatan kewangan.

Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 5.11 mata untuk ditutup kepada 1,603.34, daripada paras penutup 1,598.23 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi sedikit meningkat kepada 1,599.78 dan turun naik antara paras 1,596.46 dan 1,604.31 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 528 berbanding 478 manakala 509 kaunter tidak berubah, 1,134 tidak diniagakan dan 24 digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.78 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 3.59 bilion unit bernilai RM4.16 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Naib Presiden Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaran itu menunjukkan petanda memberangsangkan selepas mencecah semula paras 1,600 mata, perkembangan yang membantu meningkatkan keyakinan pasaran.

"Ini menunjukkan sentimen pelabur semakin beransur-ansur bertambah baik, disokong oleh keyakinan semula terhadap kestabilan domestik dan pemacu luaran. Sekiranya indeks utama kekal di atas ambang psikologi ini, ia dijangka boleh melepasi paras 1,630-1,650," katanya kepada Bernama.

Thong berkata aktiviti perdagangan agak lengang dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi menjangkakan momentum indeks yang lebih kukuh  itu mungkin menarik lebih ramai peserta memasuki pasaran.

Pada masa yang sama, beliau berkata pelabur akan memantau rapat pengumuman beberapa petunjuk utama ekonomi dan kenyataan daripada pegawai kanan Rizab Persekutuan (Fed) AS, terutama pengerusinya Jerome Powell.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Gamuda naik 17 sen kepada RM5.69, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.27 dan CIMB naik lapan sen kepada RM7.31. Maybank menambah empat sen kepada RM9.84, dan Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM13.42.

Dalam kalangan dagangan cergas, VS Industry meningkat satu sen kepada 60.5 sen, Tanco Holdings dan NexG naik satu sen masing-masing kepada 86 sen dan 50 sen manakala Zetrix AI dan KPJ Healthcare tidak berubah masing-masing pada 87 sen dan RM2.51.

Nestle menerajui kaunter paling untung meningkat RM1.78 kepada RM96.50, KESM Industries naik 51 sen kepada RM3.38 dan Allianz Malaysia melantun 46 sen kepada RM18.06, Master-Pack Group naik 24 sen kepada RM2.64 dan United Plantations melonjak 42 sen kepada RM23.54.

Dalam kalangan kaunter mencatatkan penurunan utama, Petronas Dagangan susut 70 sen kepada RM22.30, Petronas Gas turun 20 sen kepada RM18.30,  Dutch Lady Milk Industries berkurangan 20 sen kepada RM27.18, Kuala Lumpur Kepong menyusut 10 sen kepada RM20.04 manakala Vitrox Corp turun 12 sen kepada RM3.74.

Dalam kalangan indeks utama, Indeks FBM Emas meningkat 30.07 mata kepada 11,926.50, Indeks FBMT 100 naik 29.30 mata kepada 11,676.61 dan Indeks FBM ACE menyusut 58.47 mata kepada 4,973.90. Indeks FBM 70 meningkat 7.70 mata kepada 16,751.11 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 30.07 mata kepada 11,926.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 86.89 mata kepada 18,090.20, Indeks Tenaga meningkat 4.05 mata kepada 759.37, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.07 mata kepada 169.18. Indeks Perladangan naik 23.54 mata kepada 7,767.88.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.47 bilion unit bernilai RM1.97 bilion daripada 2.32 bilion unit bernilai RM3.90 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 895.48 juta unit bernilai RM148.25 juta daripada 637.62 juta unit bernilai RM93.26 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 405.44 juta saham bernilai RM157.95 juta, daripada 626.63 juta saham bernilai RM164.47 juta. 

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 206.06 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (354.41 juta), pembinaan (107.24 juta), teknologi (258.90 juta), perkhidmatan kewangan (70.08 juta), hartanah (146.83 juta), perladangan (17.27 juta), REIT (19.87 juta), dana tertutup (586,600), tenaga (91.37 juta), penjagaan kesihatan (112.93 juta), telekomunikasi dan media (27.02 juta), pengangkutan dan logistik (26.04 juta), utiliti (32.91 juta), dan amanah perniagaan (27,100).

-- BERNAMA