BERITA TERKINI   Muhyiddin umum letak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026 | 

Syarikat Bionexus 4tify Diunjur Capai Jualan Tahunan Biobahan RM84.2 Juta Tahun Depan

GEORGE TOWN, 22 Sept (Bernama) -- Syarikat berstatus BioNexus, 4tify Sdn Bhd (4tify) diunjur mencapai jualan tahunan sebanyak US$20 juta (RM84.2 juta) bagi produk biobahannya bermula tahun depan menerusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata biobahan itu merangkumi bahan penambah baik tekstil berasaskan tumbuhan (vegan) dan kulit berasaskan bio.

“Sebagai sebuah syarikat berstatus BioNexus, 4tify sedang mengembangkan operasinya bagi menangani masalah sisa tekstil dan fesyen global, di samping memacu bioekonomi Malaysia dengan bahan mampan yang boleh terbiodegradasi serta dikitar semula melalui inovasi bioteknologi dan kejuruteraan bioproses.

“Pengembangan ini menyokong amalan mampan dan ekonomi kitaran dalam sektor tekstil, kulit dan perindustrian Malaysia dengan menukar sisa pertanian bernilai rendah kepada biobahan mampan bernilai tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohd Khairul berkata usaha itu bukan sahaja membantu mengurangkan sisa dan pelepasan karbon, malah mewujudkan sub-sektor industri baharu untuk negara. 

Menurutnya, langkah tersebut juga dijangka mengurangkan kebergantungan import dan menggalakkan eksport ke pasaran seperti Kesatuan Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata Bioeconomy Corporation memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan 4tify sebagai salah satu syarikat pelaburannya, termasuk melalui fasilitasi teknikal, pengesahan pasaran dan sokongan strategik bagi membolehkan syarikat tersebut terus berinovasi serta mengembangkan amalan lestari dalam sektor bioekonomi.

“Dengan sasaran mencapai lapan juta kilogram (kg) bahan penambah baik bio-tekstil dan 100,000 kaki persegi bio-kulit setiap tahun menjelang 2027, 4tify berpotensi tinggi untuk menjadi peneraju global dalam bidangnya,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus menyokong aspirasi tersebut melalui fasilitasi akses kepada pelabur, institut penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pasaran antarabangsa, sambil memastikan 4tify dapat meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan eksport yang semakin meningkat daripada jenama fesyen dan tekstil global.

“Kami bangga bersama 4tify dalam perjalanannya memacu transformasi fesyen dan tekstil mampan, sekali gus mengangkat profil Malaysia sebagai hab biobahan global,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyambut baik usaha 4tify membangun serta meningkatkan bahan penambah baik bio-tekstil dan kulit berasaskan bio yang diperbuat daripada mikrob.

Beliau berkata teknologi syarikat itu dilihat berpotensi mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 61,500 tan setahun dalam proses penyempurnaan tekstil dan industri kulit menjelang 2027, sambil memajukan ekonomi kitaran dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan kimia petroleum import.

Chang berkata perjalanan 4tify daripada syarikat permulaan di bawah program Pemecut Berasaskan Bio- (BBA) kepada syarikat berstatus penuh BioNexus mencerminkan misi kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi dan mampan menjelang 2030.

Menurutnya, pencapaian 4tify itu sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia melonjak daripada R&D kepada pengeluaran bioteknologi berskala industri. 

“Dengan menawarkan biobahan mampan yang berdaya saing dari segi kos sebagai alternatif kepada bahan berasaskan petroleum, 4tify meletakkan Malaysia di barisan hadapan inovasi biobahan global, sambil membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk jurutera bioproses, pakar kawalan kualiti (QC) dan saintis pengeluaran.

“Amalan kelestarian itu bukan sahaja dapat ditenun dalam penampilan, malah menjadi tunjang ekonomi dan benang pengikat masyarakat kita,” katanya.

Terdahulu hari ini, Chang mengadakan lawatan ke fasiliti 4tify di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stan Kam.

4tify sebelum ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu daripada lima syarikat permulaan berasaskan tumbuhan teratas, menerima penghargaan daripada StartUs USA dan terpilih dalam Y Combinator Startup School 2017/2018.

Inovasi syarikat itu turut diketengahkan dalam Plug & Play USA Sustainable Fashion Playbook, menekankan kepimpinannya dalam memperkasakan penyelesaian fesyen mampan.

Inisiatif 4tify juga sejajar dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0, khususnya dalam teras Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran, serta menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021–2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan industri mampan berfokus masa depan.

-- BERNAMA