Perbincangan ASEAN-China Akan Bertumpu Pada Daya Tahan Perdagangan - Penganalisis

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- China, sebagai antara rakan dialog ASEAN, dijangka mengetengahkan daya tahan rantaian bekalan, kerjasama ekonomi digital, peralihan hijau dan memudah cara perdagangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) 2025.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Datuk Ng Yih Pyng berkata keutamaan ini selaras dengan agenda ASEAN untuk memperkukuh daya saing serantau dan menggalakkan pertumbuhan inklusif.

“AEM 2025 akan memperkasakan rangka kerja pengiktirafan bersama dan dialog kawal selia,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Perundingan AEM-Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) ke-24 akan diadakan esok, diikuti Perundingan AEM+3 ke-28.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Beijing dijangka memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dalam ketegangan perdagangan global, terutamanya selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif.

Beliau berkata langkah penting ke arah itu ialah mempercepat pelaksanaan Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang disasarkan dimeterai tahun ini.

Perjanjian baharu itu membawa dimensi baharu, termasuk kerjasama ekonomi digital, strategi peralihan hijau dan kesalinghubungan rantaian bekalan.

Beliau berkata China turut dijangka mendesak ke arah integrasi yang lebih tinggi di bawah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), termasuk melengkapkan proses penyertaan untuk negara yang berhasrat menyertainya bagi memperluas hubungan perdagangan dan mengurangkan impak dasar perlindungan. 

“Keutamaan ini akan membentuk agenda ekonomi ASEAN dengan menerapkan rangka kerja berorientasikan masa depan dalam visi pasca-2025, berteraskan pertumbuhan mampan dan inklusif.

“Perbincangan turut dijangka membincangkan impak yang menggugat kestabilan daripada tarif unilateral dan menggesa pembaharuan terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), memberi petunjuk bahawa China mahu tindakan bersepadu dengan ASEAN untuk mempertahankan multilateralisme berasaskan peraturan,” katanya.

 

Mata Wang Tempatan sebagai Penyelesaian Perdagangan

Mohd Sedek berkata peranan China dalam melengkapkan integrasi ASEAN dijangka melangkaui liberalisasi tarif, menyentuh aspek yang lebih kompleks mengenai kekangan terhadap perdagangan.

Beliau berkata langkah bukan tarif, kawal selia yang tidak selaras dan ketidakcekapan logistik terus menjadi halangan kritikal kepada daya saing ASEAN.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya berdepan kos pematuhan yang tinggi disebabkan perbezaan piawaian seperti peraturan sanitari manakala kelewatan di pelabuhan dan kastam terus meningkatkan kos perdagangan.

“Oleh itu, Beijing mungkin menggalakkan mekanisme seperti perjanjian pengiktirafan bersama, pangkalan data serantau mengenai halangan bukan tarif dan pendigitalan kastam yang selaras, sejajar dengan koridor pengangkutan Jalur dan Laluan untuk memperkukuh Kesalinghubungan ASEAN 2025 di AEM 2025,” katanya. 

China juga berada pada kedudukan yang baik untuk memacu peralihan digital dan hijau ASEAN dan perkumpulan itu telah membangunkan pelan induk bagi kedua-dua bidang tersebut. Bagaimanapun, pelaksanaannya masih tidak sekata.

“Dengan mengeksport modal dan teknologi, sama ada dalam platform fintech rentas sempadan, sistem pembayaran digital atau pelaksanaan tenaga boleh baharu, China dapat membantu merealisasikan aspirasi ASEAN.

“Secara praktiknya, ini mungkin melibatkan penyelarasan standard berkaitan keselamatan siber, pengiraan jejak karbon dan aliran data, mewujudkan penyelarasan institusi yang dapat meningkatkan perdagangan antara ASEAN dan mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai global,” katanya.

 

Jaringan Pembayaran ASEAN

Ng berkata peralihan ke arah penyelesaian mata wang tempatan merupakan langkah penting untuk mengurangkan kebergantungan pada dolar AS, yang dapat menurunkan kos urus niaga dan mengurangkan risiko pertukaran asing untuk perniagaan ASEAN.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan ini turut memerlukan pengurusan risiko yang baik untuk menangani turun naik mata wang dan tahap kebolehtukaran mata wang ASEAN yang tidak sekata.

Mohd Sedek berpendapat perluasan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan ASEAN-China melambangkan penyusunan semula struktur seni bina kewangan serantau.

“Walaupun renminbi (RMB) telah berkembang dengan ketara di bawah agenda pengantarabangsaan Beijing, pendekatan ASEAN adalah bersifat multipolar. 

“Penyelesaian perdagangan kerap dibuat bukan sahaja dalam RMB, malah dalam mata wang ASEAN, selaras dengan rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan (LCS) antara ASEAN yang telah beroperasi antara Malaysia, Indonesia dan Thailand,” katanya. 

Beliau menekankan bahawa ASEAN tidak bercadang mewujudkan satu mata wang untuk penyelesaian perdagangan bagi menguasai perdagangan berikutan ini akan mengulangi kelemahan model berteraskan dolar.

 

Kepelbagaian Memperkukuh Daya Tahan Serantau 

Menurut Mohd Sedek, sistem seperti Sistem Pembayaran Antara Bank Rentas Sempadan (CIPS) atau projek jaringan pembayaran ASEAN sendiri merupakan teras operasi dalam peralihan ini dalam perdagangan dan kewangan.

CIPS memproses lebih RMB175 trilion pada 2024 dan menghubungkan lebih 100 bank di ASEAN, memudah cara penyelesaian RMB untuk barangan, pelaburan langsung asing (FDI) dan pengiriman wang.

Selari dengan itu, inisiatif jaringan pembayaran ASEAN, termasuk sistem berkaitan QR dan rangka kerja Urus Niaga Mata Wang Tempatan, membolehkan pembayaran rentas sempadan pada masa nyata dan dengan kos rendah dalam mata wang tempatan, menyokong PKS dan perdagangan antara rantau secara langsung, yang telah menyumbang kira-kira 23 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan ASEAN.

“Dengan menyediakan alternatif yang dipercayai terhadap sistem yang didominasi dolar, ia mengurangkan halangan dalam penyelesaian urus niaga, meningkatkan kecairan dan membuka saluran baharu kepada perdagangan dan aliran pelaburan.

“Dari perspektif dedolarisasi, platform ini membina daya tahan dengan mengurangkan kebergantungan pada dolar AS dan pendedahan terhadap sekatan atau kejutan kecairan,” katanya.

 

Mengimbangi Mata Wang Tempatan dengan Rakan Global 

Ng menegaskan memperluas penggunaan mata wang tempatan bukan mengenai menggantikan rakan global tetapi mempelbagaikan pilihan dan memperkukuh daya tahan serantau.

“ASEAN dan China perlu mengimbangi perkembangan ini dengan mengekalkan perdagangan terbuka berasaskan peraturan dengan AS, Kesatuan Eropah dan rakan lain. Penekanan perlu kekal pada keterangkuman, ketelusan dan membina kepercayaan meliputi semua rakan ekonomi,” katanya.

Mohd Sedek berkata strategi mata wang multipolar ASEAN memberikannya fleksibiliti untuk melibatkan China dan AS tanpa terlalu bergantung pada kedua-duanya.

“Kerjasama mata wang ASEAN-China tidak perlu menjadi zero-sum outcome (satu pihak untung, pihak lain rugi). 

“Jika diurus dengan teliti, ia mengukuhkan peranan ASEAN, memperkukuh kestabilan kewangan dan menempatkan blok itu sebagai pelaku pragmatik yang membentuk masa depan landskap pembayaran yang lebih multipolar selain masih mengekalkan hubungan yang membina dengan AS dan rakan lain,” katanya.

-- BERNAMA