BERITA TERKINI   Perdagangan barangan ASEAN mencecah US$3.84 trilion, berkembang hampir 9 peratus, manakala perdagangan perkhidmatan berjumlah US$1.3 trilion dengan pertumbuhan 12 peratus -- Tengku Zafrul | KDNK ASEAN cecah US$3.9 trilion pada 2024, berkembang 4.8 peratus, tarik US$226 bilion pelaburan langsung asing – Tengku Zafrul | Negara Anggota ASEAN berharap dapat bekerjasama rapat dengan ASEAN-BAC bagi memastikan dasar kekal relevan, memudahkan dan sejajar dengan realiti perniagaan di rantau ini -- Tengku Zafrul | Pelaksanaan RMK13 akan kurangkan jurang pembangunan antara negeri melalui agihan perbelanjaan pembangunan - Amir Hamzah | Tumpuan pengagihan perbelanjaan pembangunan kerajaan akan terus diberikan kepada negeri kurang membangun - Amir Hamzah | 

Inflasi Malaysia Meningkat 1.3 Peratus Pada Ogos 2025 - Jabatan Perangkaan

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Inflasi Malaysia meningkat 1.3 peratus pada Ogos 2025 dengan mata indeks mencatat 134.9 berbanding 133.2 bagi tempoh sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) Ogos 2025 yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu berkata keadaan itu didorong terutamanya oleh peningkatan lebih tinggi kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan yang naik kepada 5.6 peratus berbanding 5.5 peratus pada Julai lepas.

Elemen lain yang turut mendorong peningkatan itu adalah penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 4.0 peratus (Julai 2025: 3.9 peratus); restoran dan perkhidmatan penginapan pada 3.5 peratus (Julai 2025: 3.1 peratus) manakala pendidikan 2.4 peratus (Julai 2025: 2.2 peratus).

“Ini termasuk makanan dan minuman 2.0 peratus (Julai 2025: 1.9 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan 0.9 peratus (Julai 2025: 0.8 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.2 peratus (Julai 2025: 0.1 peratus),” katanya.

Menurut DOSM, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.0 peratus pada Ogos 2025 berbanding 1.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Inflasi subkumpulan makanan di luar rumah kekal dengan kadar 4.3 peratus sepertimana bulan sebelumnya manakala makanan di rumah turun kepada negatif 0.1 peratus pada Ogos 2025 daripada 0.3 peratus pada Julai 2025.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata 59.7 peratus item (342 daripada 573) dalam bakul atau kelompok IHP mencatat kenaikan harga.

Daripada jumlah itu, sebanyak 332 item atau 97.1 peratus mencatat peningkatan kurang atau bersamaan dengan 10 peratus manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Ogos 2025.

“Baki sebanyak 185 item (32.3 peratus) menunjukkan penurunan dan 46 item kekal tidak berubah,” katanya.

Selain itu, kedua-dua inflasi bahan api petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel masih kekal pada jajaran negatif iaitu masing-masing negatif 9.2 peratus daripada negatif 7.8 peratus pada Julai 2025 dan negatif 5.7 peratus daripada negatif 7.1 peratus pada Julai 2025.

“Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Ogos 2025 ialah RM3.15 seliter berbanding RM3.47 seliter pada Ogos 2024 (Julai 2025: RM3.20). Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.90 seliter berbanding RM3.27 seliter pada Ogos 2024 (Julai 2025: RM2.89).

“Selain itu, purata harga Diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” katanya.

Bagi inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.3 peratus dengan Kelantan mencatat inflasi terendah 0.1 peratus pada Ogos 2025.

Bagaimanapun, empat negeri mencatat peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor pada 2.0 peratus dan diikuti dengan Selangor (1.5 peratus), Terengganu (1.5 peratus) dan Negeri Sembilan (1.4 peratus).

-- BERNAMA