Penangguhan Eudr Legakan Tekanan Pematuhan Pengeksport Minyak Sawit - CIMB

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Penangguhan selama setahun pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) sehingga akhir 2026 memberi kelegaan sementara kepada pengeksport minyak sawit dan komoditi yang lain.

Langkah ini juga dijangka mengurangkan risiko pematuhan dan tekanan kos dalam tempoh terdekat, kata CIMB Securities Sdn Bhd.

Bagaimanapun, penangguhan ini turut mengekalkan ketidaktentuan berkaitan EUDR, selain memberi ruang rundingan lanjut atau potensi pelarasan semula dasar sebelum tarikh kuat kuasa yang baharu ditetapkan, katanya dalam satu nota hari ini.

 “Gerakan pro alam sekitar mengkritik penangguhan itu, sambil memberi amaran bahawa langkah itu hanya meningkatkan tekanan politik dan risiko reputasi terhadap agenda iklim EU.

"Secara keseluruhan, kami melihat perkembangan ini (penangguhan) ini dari sudut positif terutama kepada pengeluar minyak sawit, memandangkan penangguhan tersebut berpotensi meredakan kebimbangan terhadap permintaan yang lebih lemah pada suku pertama 2026 susulan pelaksanaan EUDR, ” katanya.

Menurut Pesuruhjaya Alam Sekitar EU, Jessika Roswall, EU kini bercadang menangguhkan pelaksanaan EUDR buat kali kedua, dengan menangguhkan tarikh kuat kuasa kepada akhir tahun 2026, berbanding pelaksanaan awal yang dijadualkan berkuat kuasa pada 30 Dis, 2025.

Roswall menjelaskan cadangan penangguhan itu susulan kebimbangan terhadap tahap kesiapsiagaan sistem teknologi maklumat (IT) EU untuk mengendalikan data kebolehkesanan (traceability) yang melibatkan jumlah besar.

Pelaksanaan EUDR sebelum ini menerima tentangan daripada beberapa negara pengeksport utama komoditi termasuk Brazil, Indonesia dan Amerika Syarikat, selain beberapa negara anggota EU sendiri seperti Poland dan Austria.

-- BERNAMA