Pasaran Getah Teruskan Kenaikan Disebabkan Gangguan Bekalan, Langkah Rangsangan China

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia meneruskan aliran meningkat hari ini, disokong oleh gangguan berterusan dalam bekalan getah asli, langkah rangsangan China dan harga minyak yang stabil, kata seorang peniaga.

Beliau berkata taufan di Pasifik Barat baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan mengenai bekalan getah jangka pendek terutamanya di kawasan pengeluar utama. Pada masa yang sama, agensi cuaca Thailand turut memberi amaran mengenai hujan lebat dan kemungkinan banjir kilat dari 24 hingga 27 September.

“Di China, Bank Rakyat China (PBOC) akan melaksanakan beberapa langkah untuk menyokong bon yuan China di Hong Kong.

“Sementara itu, harga minyak kekal stabil hari ini, disokong oleh kejatuhan mengejut dalam inventori minyak mentah mingguan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, walaupun berlaku pengambilan untung, pengukuhan dolar AS dan isyarat berhati-hati daripada Rizab Persekutuan,” kata peniaga itu kepada Bernama.

Beliau menambah sentimen pasaran turut disokong oleh jualan automobil yang kukuh di China dan kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dihadkan oleh isyarat bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau dan pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang tertunda, kata peniaga itu.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 3.5 sen kepada 746.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 2.5 sen kepada 582.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA