Hubungan ASEAN, Hong Kong Terus Kukuh, Perdagangan Dua Hala Cecah US$132.5 Bilion
Oleh Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Kerjasama ekonomi ASEAN dengan Hong Kong terus kukuh, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$132.5 bilion pada 2024, menjadikan negara itu antara tujuh rakan dagangan utama rantau ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Berucap pada pembukaan Perundingan ASEAN-Hong Kong, China Kesembilan di sini hari ini, Tengku Zafrul berkata eksport ASEAN ke Hong Kong bernilai US$112.1 bilion manakala import berjumlah US$20.5 bilion.
“Ia mencerminkan peranan Hong Kong sebagai pintu masuk penting bagi produk ASEAN ke pasaran global, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi dan eksport semula,” katanya dalam mesyuarat itu, di luar Mesyuarat AEM Ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan.
Tengku Zafrul turut menyatakan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) dari Hong Kong terus mengalir masuk ke ASEAN, menjadikannya sumber FDI keenam terbesar bagi rantau itu.
Beliau berkata aliran masuk itu mengesahkan kedudukan Hong Kong sebagai pelabur yang boleh dipercayai dan dipacu inovasi dengan sumbangan kukuh dalam perkhidmatan kewangan, logistik, pembuatan termaju dan industri dipacu teknologi.
“Agenda hari ini memberi peluang kepada kami untuk menyemak semula pelaksanaan FDI dan perjanjian pelaburan ASEAN-Hong Kong termasuk perkembangan protokol pertama bagi meminda kedua-dua perjanjian,” katanya.
Perbincangan turut meliputi kerjasama di bawah Program ‘Ecotech Booth’ dan cadangan Hong Kong-China untuk memajukan kemudahan perdagangan melalui kesalinghubungan perdagangan kemasukan tunggal.
“Usaha ini penting untuk memastikan perjanjian kami kekal relevan, mesra perniagaan dan berpandangan ke hadapan. Di luar bidang khusus ini, kami juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau dan global serta berbincang mengenai hala tuju masa depan kerjasama ASEAN-HKC,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong Algernon Yau berkata ASEAN telah menjadi rakan dagangan barangan kedua terbesar Hong Kong selama 15 tahun berturut-turut.
Beliau berkata perdagangan barangan antara kedua-dua pihak meningkat 14 peratus tahun lalu, dan terus berkembang sebanyak 24 peratus pada separuh pertama 2025, menjadikan Hong Kong sebagai rakan dagangan perkhidmatan ketiga terbesar ASEAN.
“Sejak perjanjian itu dimeterai pada 2017, perdagangan dan barangan kami dengan ASEAN telah meningkat sebanyak 38 peratus manakala pelaburan langsung keluar Hong Kong ke ASEAN meningkat sebanyak 42 peratus,” katanya.
Yau turut mengesahkan komitmen Hong Kong untuk mengukuhkan hubungan dengan ASEAN dalam perdagangan, pelaburan dan pertukaran rakyat dengan rakyat dengan menyatakan bahawa keterangkuman dan kemampanan kekal sebagai teras perkongsian.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada ASEAN di bawah Malaysia sebagai pengerusi atas pencapaian baru-baru ini, termasuk menyempurnakan rundingan FTA ASEAN-China yang dinaik taraf, peningkatan dalam Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN, dan penerimaan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
-- BERNAMA