BERITA TERKINI   Dua jemaah haji Malaysia yang dirawat di hospital di Madinah dan Mekah berada dalam keadaan stabil - TH | Sultan Selangor perkenan temasya SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah - KBS | Krisis bekalan global: Malaysia perlu beralih kepada ekonomi produktiviti tinggi, perkukuh rantaian bekalan negara - TPM Ahmad Zahid | Kerajaan komited pastikan Malaysia kekal sebagai negara dengan ekosistem perniagaan yang efisien, telus dan responsif - TPM Ahmad Zahid | Ekonomi negara masih kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global, gangguan rantaian bekalan - TPM Ahmad Zahid | 

Indeks Harga Pengeluar Malaysia Susut 2.8 Peratus Pada Ogos 2025 - DOSM

KUALA LUMPUR, 29 Sept  (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, mencatatkan penurunan kecil 2.8 peratus pada Ogos 2025 selepas susut 3.8 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan pada Ogos sama seperti bulan sebelumnya yang disumbangkan terutamanya oleh sektor pembuatan dan perlombongan.

"Sektor pembuatan mencatatkan penurunan 4.0 peratus sama seperti Julai 2025, dipengaruhi oleh pembuatan kok dan produk-produk petroleum bertapis (-14.9 peratus) serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-7.7 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada masa yang sama, sektor perlombongan susut 3.4 peratus pada Ogos 2025 berbanding penurunan ketara 8.7 peratus pada Julai, dipengaruhi oleh aktiviti pengekstrakan petroleum mentah (-5.1 peratus).

Sebaliknya sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 7.3 peratus (Julai 2025: 1.1 peratus), didorong oleh penanaman tanaman kekal (11.6 peratus), manakala sektor utiliti mencatatkan peningkatan dalam bekalan elektrik dan gas (4.1 peratus) dan bekalan air (3.4 peratus).

Pada asas bulan ke bulan, Mohd Uzir berkata IHPR bagi pengeluaran tempatan meningkat 0.1 peratus pada Ogos 2025, selepas kenaikan 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Mengikut peringkat pemprosesan, beliau berkata semua kategori mencatatkan penurunan tahun ke tahun pada Ogos 2025, meneruskan trend penguncupan sejak Mac 2025.

-- BERNAMA