BERITA TERKINI   KKM kaji pelaksanaan sistem 'e-MC', bendung sindiket sijil sakit palsu - Dzulkefly | Sebanyak 402 kes berkaitan vape dikesan mengandungi dadah sintetik berbahaya - Dzulkefly | Bekas Ketua Bernama Radio Allahyarham Azlan Idris diumum penerima Anugerah Khas HAWANA 2026 | Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman diumum penerima Anugerah HAWANA 2026 | Peruntukan Dana Inovasi Media diteruskan, RM24.57 juta disalur kepada 72 syarikat setakat ini- PM Anwar | 

Megah Port Management Terima Pengiktirafan Susulan Khidmat Cemerlang Di Labuan

LABUAN, 30 Sept (Bernama) -- Pengendali pelabuhan Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) menerima pengiktirafan daripada Persatuan Penghantar Fret Labuan (LFFA) berikutan komitmen berterusan dalam perkhidmatan pengendalian kargo yang cekap dan boleh dipercayai.

Sijil penghargaan berkenaan yang diberikan kali kedua oleh persatuan yang mewakili industri penghantaran barangan di pulau ini, mencerminkan peranan MPM dalam menyokong kelancaran operasi logistik serta memperteguh kedudukan Labuan sebagai hab perdagangan penting.

Sijil itu disampaikan pada Majlis Makan Malam LFFA dan Persekutuan Penghantar Fret Malaysia baru-baru ini.

Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong berkata pengiktirafan itu menjadi pendorong kepada  syarikat untuk terus meningkatkan standard perkhidmatannya.

“Kami menghargai pengiktirafan daripada LFFA. Ini adalah satu penghormatan dan motivasi untuk kami terus berusaha menjadi lebih baik bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kecekapan dan mempertingkat kualiti operasi pelabuhan di Labuan,” katanya.

Beliau berkata MPM kekal komited terhadap inovasi dan kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pelabuhan itu terus menyumbang secara positif kepada ekonomi dan ekosistem perdagangan di pulau ini.

-- BERNAMA