BERITA TERKINI   Piala Malaysia: Kuching City 3-1 DPMM | Liek Hou-Mohamad Faris muncul juara beregu lelaki SU5 Kejohanan Para Badminton Dunia 2026 di Bahrain | Jaguh para badminton negara Cheah Liek Hou pertahan gelaran juara perseorangan lelaki SU5 pada Kejohanan Para Badminton Dunia 2026 di Bahrain hari ini | 

Kerajaan Laksana Pelbagai Langkah Rancakkan Industri Buluh Negara - Chan

KUALA BERANG, 2 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang mengambil pelbagai inisiatif untuk merancakkan lagi industri buluh yang mampu muncul sebagai pemacu ekonomi baharu, seterusnya memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata berdasarkan laporan Unjuran Data Pasaran, nilai eksport buluh dunia pada 2024 sebanyak US$70.78 bilion (RM299.43 bilion) dan meningkat kepada US$74.26 bilion (RM314.16 bilion) pada tahun ini.

“Data ini menunjukkan betapa pentingnya industri buluh kepada pembangunan serta keperluan pada peringkat global.

“Penekanan utama kini diberikan kepada inovasi penghasilan produk buluh bernilai tinggi, pembangunan kemahiran serta penerapan teknologi moden dengan penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan World Bamboo Day (WBD) Malaysia 2025 di Model Ladang Buluh di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) di sini hari ini.

Beliau yang mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pada masa ini, terdapat lebih 577 pengusaha tempatan terlibat dalam pelbagai sektor berkaitan buluh termasuk perabot, pembinaan, tekstil, makanan, arang dan kraftangan.

Katanya ini jelas membuktikan bahawa buluh bukan lagi sekadar bahan tradisional, malah berpotensi besar sebagai komoditi moden yang berdaya saing. 

Sehubungan itu, katanya penekanan utama kini diberikan kepada inovasi penghasilan produk buluh bernilai tinggi, pembangunan kemahiran dan penerapan teknologi moden dengan penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan.

Chan berkata antara yang dilaksanakan kerajaan adalah melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yang menjalankan pelbagai kajian berterusan meliputi aspek produk hiliran bernilai tambah seperti pengekstrakan serat buluh dalam pembuatan produk perabot dan sebagai bahan binaan.

“Ketahanan produk buluh yang dihasilkan telah membuktikan keupayaan industri buluh ini bergerak seiring dengan tuntutan teknologi moden.

“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan teknologi dan inovasi berasaskan buluh, malah turut diperkaya dengan khidmat nasihat teknikal serta program latihan pembangunan modal insan dalam sektor perladangan dan teknologi buluh,” katanya.

Selain itu, Chan berkata kerajaan melalui MTIB juga telah melaksanakan Projek Pembangunan Community Farming Buluh (PPCFB) di kawasan seluas 135.4 hektar di seluruh negara melibatkan usahawan ladang bersaiz kecil. 

Katanya melalui program tersebut, tawaran insentif bantuan berbentuk anak pokok buluh dan baja serta latihan diberikan kepada peserta program yang telah diluluskan dengan keluasan ladang buluh masing-masing antara 0.4 hektar dan 3.99 hektar. 

“Pada masa yang sama, penanaman secara ladang bagi tanaman buluh di negara ini adalah melebihi 4,000.87 hektar dan majoritinya dibangunkan oleh pihak swasta bagi memenuhi keperluan pasaran domestik,” katanya.

 -- BERNAMA