BERITA TERKINI   SPR adakan Mesyuarat Khas pada 16 Okt ini untuk bincang tarikh penting dan perkara lain berkaitan PRN Sabah ke-17 | SPR terima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya tentang pembubaran DUN Sabah ke-16 -- SPR | Pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat 3.8 peratus kepada RM9,155 pada 2024 berbanding RM8,479 pada 2022 - Amir Hamzah | Kadar kemiskinan tegar turun kepada 0.09 peratus pada 2024 berbanding 0.2 peratus pada 2022 - Amir Hamzah | Dewan Rakyat lulus usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 | 

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Mendatar Berikutan Kekurangan Permintaan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka bergerak mendatar minggu depan berikutan kekurangan permintaan terhadap komoditi, termasuk getah, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata permintaan dan harga dijangka terus menyusut dalam tempoh terdekat.

“Kami melihat pasaran dalam keadaan lemah dan menjangkakan permintaan akan berkurangan dengan ketara. Harga mungkin turun sedikit, namun tidak terlalu ketara kerana keadaan cuaca dijangka menjadi faktor pengimbang,” katanya kepada Bernama.

Beliau merujuk kepada ramalan Jabatan Meteorologi Thailand yang menjangkakan hujan di beberapa kawasan, angin kencang dan laut bergelora akibat perubahan corak monsun serta kehadiran ribut tropika berhampiran.

Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir bagi beberapa negeri.

Harga minyak mentah dan ketidaktentuan dolar Amerika Syarikat (AS) turut berpotensi mempengaruhi permintaan dan harga komoditi itu, kata beliau.

"Ketidaktentuan ini mencerminkan keadaan yang tidak stabil dan mungkin mencetuskan kebimbangan serta pendekatan lebih berhati-hati dalam kalangan pelabur.

Oleh itu, kita mungkin menyaksikan pendekatan dagangan yang lebih berhati-hati dalam pasaran getah,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pertumbuhan ekonomi AS yang perlahan berikutan penutupan sebahagian operasi kerajaan juga boleh memberi kesan kepada pasaran getah.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengeluarkan pandangan bercampur mengenai inflasi yang turut dipengaruhi oleh kesan tarif.

"Pasaran getah juga mungkin terus lemah berikutan kebimbangan terhadap bekalan akibat keadaan cuaca buruk di negara pengeluar utama,” katanya.

Bagi perbandingan minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun sebanyak 12 sen kepada 731.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal juga susut 12 sen kepada 570.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA