BERITA TERKINI   PM Anwar akan hubungi Presiden Mesir bagi bincang laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah | PM Anwar bangga perjuangan dan pengorbanan 23 aktivis Malaysia yang sertai GSF, cipta sejarah negara | Turkiye akan bantu proses bawa pulang sembilan peserta Freedom Flotilla Coalition yang ditahan oleh Israel - PM Anwar | FFC: Wisma Putra sudah hubungi Turkiye dan Amerika Syarikat untuk segerakan usaha bawa keluar sembilan rakyat Malaysia ditahan Israel- Mohamad Hasan | 

Segmen Motor, Kebakaran Pacu Pertumbuhan Dalam Industri Insurans Am Di Malaysia - PIAM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Industri insurans am Malaysia berkembang 4.0 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2025 dengan premium bertulis kasar (GWP) meningkat kepada RM12.3 bilion daripada RM11.8 bilion, kebanyakannya didorong oleh segmen motor dan kebakaran, kata Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM Chua Kim Soon dalam taklimat prestasi enam bulan tahun hari ini berkata segmen insurans motor menyumbang tambahan RM283 juta dalam premium, disokong oleh peningkatan 35.6 peratus dalam jualan kenderaan hibrid dan elektrik.

Segmen kebakaran meningkat RM244 juta, didorong oleh peningkatan 3.7 peratus dalam polisi insurans hartanah komersial, mencerminkan permintaan yang stabil dalam pasaran insurans hartanah.

Beliau berkata industri itu melaporkan keuntungan pengunderaitan sebanyak RM629 juta, naik daripada RM476 juta pada separuh pertama 2024, apabila nisbah gabungan melonjak kepada 92.1 peratus daripada 93.7 peratus.

Nisbah tuntutan merosot sedikit kepada 57.4 peratus, manakala perbelanjaan pengurusan turun kepada 34.7 peratus.

"Industri ini terus memberikan hasil yang baik walaupun menghadapi cabaran daripada segmen insurans kesihatan perubatan, kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan premium stabil dan pengunderaitan berdisiplin," kata Chua.

Beliau berkata risiko luaran khususnya ketegangan geopolitik dan inflasi akan terus mempengaruhi keadaan pasaran.

“Tarif dikenakan oleh Amerika Syarikat sehingga 19 peratus ke atas pelbagai jenis barangan telah memberi kesan ke atas ekonomi dipacu eksport Malaysia.

"Kira-kira separuh daripada pengeluar terjejas sehingga 10 peratus, manakala satu pertiga memberi kesan antara 10 dan 30 peratus," kata Chua.

Mengenai risiko berkaitan iklim, beliau berkata jurang perlindungan di Malaysia kekal luas, dengan perlindungan insurans masih rendah walaupun bencana disebabkan cuaca berulang.

“Banjir besar pada 2021 menyebabkan kerugian antara RM5.3 bilion dan RM6.5 bilion, bagaimanapun insurans hanya melindungi kira-kira 20 hingga 30 peratus, perlindungan banjir adalah terhad dengan hanya 12 peratus polisi motor dan kira-kira 30 peratus polisi kebakaran termasuk perlindungan banjir.

Segmen insurans kebakaran merekodkan peningkatan 10.4 peratus tahun ke tahun dalam premium kepada RM2.6 bilion, disokong oleh pertumbuhan dalam hartanah komersial seperti gudang, menara pejabat dan pusat data termasuk Pusat Data KL1 IBX di Cyberjaya.

Insurans motor kekal sebagai segmen terbesar, menyumbang 42.8 peratus daripada jumlah GWP, diikuti kebakaran (21.1 peratus), pelbagai (14.8 peratus), marin, penerbangan dan transit (9.3 peratus), dan kemalangan diri (8.4 peratus).

Chua berkata perniagaan dalam segmen motor terus menghadapi tekanan keuntungan daripada peningkatan kadar kemalangan dan kos inflasi.

“Jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat, kini mencecah kira-kira 115 kes bagi setiap 100,000 orang. Sejak 2021, kos alat ganti meningkat secara purata 10 peratus setiap tahun.

“Selain itu, pampasan untuk kemalangan diri juga semakin meningkat dengan lebih banyak kes melepasi RM1 juta,” katanya.

Chua berkata industri berkenaan menjangkakan pertumbuhan sederhana untuk sepanjang tahun, disokong oleh pengembangan dalam insurans harta komersil dan pemulihan dalam perlindungan kemalangan diri apabila aktiviti perjalanan menjadi bertambah baik.

“Tumpuan pada masa depan adalah untuk mengukuhkan kesedaran pengguna, menggalakkan perlindungan risiko lebih baik dan memajukan penggunaan digital melalui perkongsian dengan e-dompet dan platform Insurtech,” tambahnya.

-- BERNAMA