BERITA TERKINI   Laporan semakan insiden letupan saluran gas di Putra Heights diserah kepada Kerajaan Persekutuan bulan lepas - MB Selangor | PM jamin kontraktor kecil berprestasi baik akan diberi lebih banyak kontrak untuk berkembang | Peruntukan perolehan kerja untuk Kementerian Pendidikan dinaikkan daripada RM400 juta kepada RM900 juta - PM Anwar | Guru jadi pempengaruh media sosial perlu jaga adab, hujah berlandaskan fakta - PM Anwar | BN umum tanding di semua 56 kerusi DUN pada pilihan raya negeri Johor akan datang - Onn Hafiz | 

Niaga Hadapan MSM Terus Meningkat, Ditutup Lebih RM4,500 Satu Tan

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan momentum peningkatannya apabila ditutup tinggi pada Rabu, mencecah lebih RM4,500 satu tan berikutan jangkaan pengeluaran lebih suram dalam minggu-minggu mendatang.

Peniaga Minyak Sawit David Ng berkata laporan mengenai tindakan Indonesia melakukan ujian lanjut membabitkan program biodiesel B50, juga hanya meningkatkan lagi sentimen dalam pasaran komoditi itu.

“Berikutan itu, kami melihat paras sokongan pada RM4,500 satu tan manakala rintangan pada RM4,650 satu tan," katanya kepada Bernama.

Pada akhir urus niaga hari ini, kontrak bulan semasa Oktober 2025 dan November 2025 masing-masing naik RM62 kepada RM4,468 dan RM4,506 satu tan.

Kontrak Disember 2025 dan Januari 2026 pula masing-masing melonjak RM75 kepada RM4,545 dan RM4,563 satu tan manakala Februari 2026 naik RM69 kepada RM4,552 satu tan dan Mac 2026 naik RM53 kepada RM4,514 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 127,995 lot daripada 55,737 lot semalam manakala kepentingan terbuka menokok kepada 277,380 kontrak daripada 276,188 kontrak sebelum ini.

Di pasaran fizikal, Oktober Selatan naik RM30 kepada RM4,470 satu tan.

-- BERNAMA