BERITA TERKINI   Pelaburan langsung Malaysia di luar negeri catat aliran keluar bersih lebih rendah bernilai RM12.4 bilion pada 2025 berbanding RM35.5 bilion pada 2024 - DoSM | Jumlah pelaburan langsung Malaysia di luar negeri sebanyak RM589.3 bilion pada akhir 2025 atau 29.1 peratus daripada KDNK berbanding 32.2 peratus pada 2024 - DoSM | FDI Malaysia meningkat 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion pada 2025 daripada RM46.7 bilion pada 2024 - DoSM | FDI terkumpul meningkat kepada RM1.09 trilion pada akhir 2025, menyumbang 53.7 peratus daripada KDNK - DoSM | Sektor 'Advanced Air Mobility' dan dron dijangka berkembang pesat dengan pelaburan bernilai berbilion dolar - Loke | 

MPOB, MyIPO Meterai MoU Tingkat Kerjasama Strategik, Inovasi Dan Penyelidikan Sawit 

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama strategik, melindungi inovasi dan penyelidikan sawit. 

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kerjasama ini melambangkan komitmen kedua-dua agensi dalam memperkukuh perlindungan harta intelek hasil penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan oleh MPOB demi kepentingan industri sawit negara. 

“Usaha ini juga bakal meningkatkan daya saing, produktiviti dan kemampanan sektor sawit negara.

“Dengan adanya sistem sokongan bagi melindungi hak harta intelek oleh MyIPO, kepentingan agensi penyelidikan seperti MPOB dan syarikat yang berminat mengkomersialkan inovasi MPOB dapat dipelihara,” katanya dalam kenyataan.

Sejak 1986, MPOB telah memfailkan 394 paten di Malaysia, dengan 33 peratus daripadanya berjaya dikomersialkan.

Kerjasama ini membolehkan penyertaan MPOB dalam Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC).

Melalui kerjasama ini, MPOB menjadi sebahagian daripada rangkaian TISC, sebuah platform kerjasama strategik yang diterajui oleh MyIPO bersama pelbagai institusi penyelidikan (RI) bagi memperkukuh perlindungan serta pengurusan harta intelek dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I).

-- BERNAMA