BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

ADB, Bank Dunia Lancar Inisiatif Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Kumpulan Bank Dunia menerusi kerjasama dengan ASEAN, melancarkan Inisiatif Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APG) bagi menyokong pembangunan serta integrasi grid tenaga nasional di serata rantau ini.

Pengarah Pembangunan Asia Selatan ADB Winfried F. Wicklein berkata bank itu telah menyatakan komitmen berjumlah US$10 bilion bagi membiayai grid ASEAN yang berkaitan dengan APG selain projek-projek penjanaan tenaga bersih dan sokongan persediaan seperti pinjaman, geran, bantuan teknikal serta pembiayaan campuran.

“Beberapa infrastruktur penjanaan itu perlu dibangunkan, termasuk penjanaan tenaga bersih. Kita juga sedang mengusahakan persediaan projek menerusi pinjaman, geran dan pinjaman campuran yang dapat menarik penglibatan rakan-rakan (kerjasama),” katanya kepada pemberita selepas Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF-25) di sini, hari ini.

Wicklein juga menyifatkan inisiatif itu semakin mendapat momentum menerusi kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN, pembiaya dan pemaju projek dengan pelbagai kajian kebolehlaksanaan sedang dilaksanakan pada masa ini.

“ASEAN mempunyai penjanaan tenaganya sendiri daripada sumber berbeza seperti arang batu kepada tenaga boleh baharu, namun fokus utama Grid Tenaga ASEAN adalah tenaga bersih,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi pembentangan bertajuk 'Financing the APG: Unlocking Investments through the APG Financing Initiative' (Pembiayaan APG: Menarik Peluang Pelaburan Menerusi Inisiatif APG), Pengurus Amalan Tenaga dan Ekstraktif Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik, Claudia Vasquez berkata pelan induk ASEAN kini menumpukan aspek pengukuhan kapasiti grid nasional, peralihan kepada penjanaan tenaga bersih dan mengembangkan kesalinghubungan, termasuk cadangan projek kabel bawah laut.

Beliau bagaimanapun menegaskan inisiatif berkenaan masih perlu mengatasi beberapa cabaran penting, termasuk keperluan pendanaan besar-besaran bagi persediaan projek, jurang penyelarasan, data projek terhad serta keperluan mengekalkan komitmen daripada kalangan negara anggota ASEAN.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara ADB dan Bank Dunia bagi inisiatif Pembiayaan APG berkenaan.

Bank Dunia setakat ini masih belum menyatakan jumlah komitmennya bagi inisiatif itu.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Fadillah berkata ASEAN melihat APG sebagai salah satu usaha kerjasama tenaga paling strategik di rantau ini yang penting dalam usaha meningkatkan keterjaminan tenaga selain langkah memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu.

“Pembiayaan APG ini penting kerana menjadi asas impian tenaga kita. Tanpa mekanisme pembiayaan yang mencukupi serta inovatif, projek yang paling berpotensi juga boleh terjejas.

“Sehubungan itu, kita mesti menggerakkan modal awal dan swasta, menyahrisiko pelaburan dan mewujudkan pengupaya persekitaran yang dapat menarik komitmen jangka panjang,” katanya.

APG bermatlamat mewujudkan kesalinghubungan tenaga serantau yang pada awalnya menerusi hubungan dua hala rentas sempadan, sebelum diperluaskan kepada rangkaian subserantau dan akhirnya membentuk grid kuasa Asia Tenggara yang bersepadu sepenuhnya.

Sejajar peranannya sebagai antara projek infrastruktur tenaga utama di bawah Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN, APG dijangka dapat meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan, memenuhi permintaan tenaga selain mempertingkat akses bagi perkhidmatan tenaga di seluruh rantau ini.

-- BERNAMA