BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

AirAsia Terima Pesawat A321neo, A321LR Pada Separuh Kedua 2026 Untuk Perluas Penerbangan Jarak Sederhana

Daripada Nur Athirah Mohd Shaharuddin

TASHKENT, 20 Okt (Bernama) -- AirAsia X Bhd merancang untuk mengembangkan armada dengan membeli pesawat yang lebih kecil termasuk pilihan enjin baharu (NEO) dan model jarak jauh (LR) sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran penerbangan jarak sederhana.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Benyamin Ismail berkata syarikat penerbangan itu dijangka menerima pesawat baharu itu pada separuh kedua 2026.

Beliau berkata AirAsia X akan menerima penghantaran pesawat Airbus A321neo dan A321LR, membolehkannya melakukan penerbangan yang mengambil masa antara lima dan tujuh jam.

"Sebagai contoh, kami sedang menilai beberapa destinasi berpotensi seperti Busan di Korea Selatan, Adelaide dan Darwin di Australia serta bandar-bandar kecil di China," katanya semasa lawatan suai kenal bersama media dalam penerbangan sulung syarikat penerbangan itu ke Tashkent, Uzbekistan.

Syarikat penerbangan tempatan itu melancarkan penerbangan pertamanya ke Tashkent pada 15 Oktober, 2025, menawarkan tiga perkhidmatan mingguan antara Malaysia dan ibu negara Uzbekistan.

Tashkent menandakan destinasi kedua AirAsia X di Asia Tengah selepas Almaty, Kazakhstan yang dilancarkan pada 14 Mac, 2024.

Benyamin berkata syarikat penerbangan itu juga memberi tumpuan kepada meningkatkan kekerapan penerbangan merentasi destinasi sedia ada, memandangkan prestasi keseluruhan adalah menggalakkan.

"Di Australia, sebagai contoh, kami sedang berusaha ke arah menawarkan jadual lebih konsisten, manakala permintaan di China telah meningkat, justeru kami menambah semula kapasiti di sana, selain itu permintaan untuk penerbangan ke Jepun dan Korea Selatan juga kekal kukuh.

Beliau berkata keputusan bulanan dan suku tahunan syarikat penerbangan itu telah menunjukkan faktor muatan yang positif dengan purata 84 peratus.

Benyamin menyifatkan angka itu sebagai peningkatan ketara berbanding paras direkodkan semasa tempoh pandemik COVID-19.

-- BERNAMA