BERITA TERKINI   Pengembangan berterusan portfolio pinjaman dan deposit tingkatkan untung bersih Public Bank kepada RM1.75 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM1.74 bilion suku pertama 2025 | KPT struktur semula 36 politeknik, tawar pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana selari keperluan industri berteknologi tinggi - Zambry | Permintaan buruh Malaysia meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun, merekodkan 9.23 juta jawatan pada suku pertama 2026 - DOSM | Kerajaan teliti insentif untuk percepat penggunaan trak EV susulan peningkatan kos subsidi diesel - Loke | Malaysia perlu bina kemampuan eksport berdaya tahan dan tidak bergantung kepada pelepasan tarif sementara AS - Akmal Nasrullah | 

Petronas Bekerjasama Dengan OQEP Dari Oman Jalan Aktiviti Eksplorasi Dan Pengeluaran

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi anak syarikatnya Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali) bekerjasama dengan OQ Exploration and Production New Ventures LLC (OQEP) untuk bersama-sama menjalankan eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas di Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata Petronas Carigali hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan OQEP, anak syarikat milik penuh OQ Exploration and Production SAOG, di ibu pejabat OQEP di Muscat, Oman.

Menurut syarikat minyak dan gas nasional itu, MOU tersebut menyediakan rangka kerja kerjasama yang memanfaatkan kepakaran huluan antarabangsa Petronas serta pengetahuan serantau OQEP, bertujuan untuk membuka peluang pertumbuhan baharu dan mempercepatkan penciptaan nilai dalam pelbagai pasaran.

Naib Presiden Aset Antarabangsa Huluan Petronas, Mohd Redhani Abdul Rahman, berkata kerjasama itu merupakan satu langkah ke hadapan yang bermakna dalam usahanya membina portfolio huluan yang berdaya tahan dan berdaya saing.

“Dengan menyelaraskan kekuatan kami dengan hala tuju strategik OQEP, kami berkedudukan baik untuk meneruskan usaha niaga yang memberi impak di rantau ini,” katanya.

Petronas berkata syarikat itu aktif di Oman sejak 2018 dan pada masa ini memegang kepentingan penyertaan di Blok 61.

"MOU ini terbina di atas hubungan yang semakin erat antara Petronas dan OQEP, berlandaskan sikap saling menghormati dan berkongsi matlamat industri," katanya.

-- BERNAMA