BERITA TERKINI   Bekalan minyak negara masih mencukupi, belum perlu catuan - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia | PM Anwar gesa agensi pembangunan usahawan pergiat usaha turun padang kenal pasti keperluan usahawan, bukan hanya tunggu di pejabat | 

Kerajaan Komited Perkasa PKS Melalui Pelbagai Inisiatif - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited untuk terus memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pelbagai inisiatif termasuk jaminan tambahan, kemudahan pembiayaan serta sokongan bagi memperkukuh inovasi dan pendigitalan.

Beliau berkata langkah ini penting bagi memastikan Malaysia mencapai aspirasinya untuk kekal sebagai hab pelaburan yang diyakini di rantau ini.

“Ia juga bagi memastikan perusahaan tempatan dan syarikat pemula tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi global.

"Kita mahu melihat PKS tempatan lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa dan harus diingat bahawa haluan masa depan mesti berpaksikan teknologi, kelestarian dan keterangkuman untuk terus berjaya," kata beliau menerusi hantaran di laman sosial X, hari ini.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyeru PKS agar tidak alpa kerana transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan automasi bukan lagi satu kemewahan tetapi telah menjadi keperluan utama yang akan menentukan daya saing dan kemajuan negara pada masa hadapan.

-- BERNAMA