BERITA TERKINI   MB Johor nafi desas-desus pembubaran DUN berlaku hari ini | Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | 

Indeks Pelopor Malaysia Turun 0.5 Peratus Pada Ogos 2025 – DOSM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Indeks Pelopor Malaysia (IP) mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus kepada 113.7 mata pada Ogos 2025 daripada 114.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (-26.9 peratus), sejajar dengan kelembapan permintaan global.

“Pada asas bulanan, IP mencatatkan penurunan 0.8 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam Import Benar Semikonduktor (-0.7 peratus), selaras dengan sentimen perdagangan global yang berhati-hati,” katanya.

DOSM berkata trend arah aliran jangka panjang terlicin IP pada Ogos 2025 kekal berada di bawah 100.0 mata, menggambarkan ekonomi Malaysia kekal menyederhana.

Jelasnya, ia dipengaruhi oleh landskap domestik yang stabil sebagai penggerak pertumbuhan dan kepelbagaian industri yang membolehkan kestabilan ekonomi walaupun berdepan cabaran global.

Sementara itu, menurut DOSM, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa, mengekalkan momentum positifnya dengan peningkatan tahunan sebanyak 2.1 peratus kepada 128.9 mata pada Ogos 2025 daripada 126.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh peningkatan dalam Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 9.6 peratus, selaras dengan aliran peningkatan pasaran buruh susulan aktiviti ekonomi domestik yang kukuh,” katanya.

Bagaimanapun, kata DOSM, prestasi bulanan IS menunjukkan sedikit penyederhanaan dengan penurunan sebanyak 0.6 peratus, berikutan kelembapan dalam beberapa komponen, khususnya Penggunaan Kapasiti dalam Pembuatan (-0.3 peratus).

-- BERNAMA