BERITA TERKINI   Sebahagian besar kandungan melibatkan penipuan dan judi dalam talian disebarkan menerusi Facebook - Fahmi | 91 peratus kandungan media sosial minta diturunkan adalah berkaitan scam dan judi dalam talian - Fahmi | Raja Permaisuri Agong sempurnakan penamaan, pelancaran Kapal Misi Pesisir TLDM, Tunku Laksamana Abdul Jalil di Istanbul hari ini | Permohonan Dana Pemangkin Generasi MADANI bernilai RM5 juta dibuka 1 hingga 30 Jun ini bagi sokong penghasilan kandungan kreatif - Fahmi | 

Perda Food Valley Catat Pengeluaran Lebih 7,000 Tan Metrik

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Projek penggiliran tanaman di PERDA Food Valley, Pulau Pinang merekodkan pengeluaran berjumlah 7,131 tan metrik hingga September lepas, berbanding 5,101 tan metrik sepanjang 2024.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pelaksanaan projek itu meliputi kawasan seluas 140 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda dan TKPM Mayfield, Pulau Pinang.

Beliau berkata antara tanaman yang diusahakan termasuk jagung, sayur-sayuran berbuah seperti cili, terung dan kacang panjang serta sayur-sayuran daun seperti kangkung dan bayam.

"Penggiliran tanaman bertujuan meningkatkan kesuburan tanah, mengurangkan serangan perosak dan penyakit serta menghasilkan produk berkualiti tinggi sambil mengurangkan kebergantungan kepada input kimia," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai usaha kementerian memperluas modul penggiliran tanaman seperti dilaksanakan di PERDA Food Valley bagi meningkatkan produktiviti pertanian dan menyumbang kepada sekuriti makanan negara.

Mohamad berkata pelaksanaan penggiliran tanaman tidak terhad kepada kawasan PERDA Food Valley dengan Jabatan Pertanian (DOA) turut menggalakkan amalan itu di beberapa TKPM sayuran seperti di Ulu Tiram, Johor dan Ulu Yam, Selangor serta kepada petani sayuran di seluruh negara.

Beliau berkata DOA juga melaksanakan pendekatan lain bagi menggalakkan amalan penggiliran tanaman melalui program demonstrasi ladang dan latihan teknikal bertujuan memberi panduan kepada petani dalam melaksanakan sistem penggiliran tanaman sesuai dengan jenis tanah, iklim tempatan dan keperluan pasaran.

-- BERNAMA