BERITA TERKINI   153 laporan polis diterima setakat 3 petang berhubung kenyataan Puad Zarkashi - Ketua Polis Johor | Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | Malaysia melepasi kapasiti tenaga boleh baharu 13.3GW pada 2025, dipacu oleh pertumbuhan pesat tenaga solar - TPM Fadillah | Malaysia menyasarkan 118 juta liter air terawat sehari menjelang 2030 untuk kegunaan industri, meningkat daripada pengeluaran semasa 48.5 juta liter sehari - TPM Fadillah | 

PM Anwar Akan Tekan Kepentingan Keterangkuman, Ekonomi Digital Dan AI Di APEC

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menekankan kepentingan keterangkuman dalam pengukuhan rantaian bekalan dan pembangunan ekonomi digital yang mampan semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di Gyeongju, Korea Selatan.

Selain itu Anwar juga akan turut mengetengahkan dasar negara dalam transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), kata Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini, hari ini.

Beliau berkata semasa lawatan ke Korea Selatan yang bermula Khamis ini Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan pemain utama industri dan membincangkan peluang perniagaan dan pelaburan, di samping meningkatkan lagi perkongsian strategik antara kedua-dua negara.

“Semoga usaha yang berterusan di APEC akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berprinsip, progresif, dan komited memperjuangkan keadilan, kemakmuran, dan keamanan serantau demi masa depan negara,” kata Tunku Nashrul.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Zamruni Khalid, Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan intervensi Malaysia semasa Dialog Pemimpin Ekonomi APEC dengan para tetamu pada 31 Oktober (Jumaat) dan Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC pada 1 November (Sabtu). 

-- BERNAMA