BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Subsidi RON95 Ambil Masa, Untuk Pastikan Pelaksanaan Teliti, Tidak Jejas Rakyat - MOF

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan mengambil masa lebih lama untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 berbanding subsidi lain bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan dengan teliti dan tidak menjejaskan rakyat.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen berkata antara faktor yang diambil kira termasuk penelitian kepada kaedah pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) memandangkan petrol RON95 digunakan oleh ramai pengguna serta menjadi komponen perbelanjaan isi rumah yang signifikan.

Selain itu, penyelarasan sistem antara agensi kerajaan dan syarikat minyak hingga ke peringkat stesen minyak di seluruh negara turut diberi perhatian, termasuk persiapan serta ujian sistem bagi memastikan pengalaman pengguna berjalan lancar, katanya.

MOF berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai sebab kerajaan MADANI mengambil masa 2 tahun 7 bulan untuk mengumumkan penurunan harga minyak (penyasaran subsidi petrol RON95).

Kementerian itu berkata pendekatan berperingkat tersebut juga membolehkan program BUDI95 dibangunkan dengan mengambil iktibar daripada kejayaan pelaksanaan program BUDI MADANI Diesel tahun lalu.

“Pendekatan ini membolehkan kerajaan menambah baik dan memperkukuh mekanisme penyasaran subsidi petrol agar lebih cekap, berkesan, serta mampu memberikan manfaat kepada rakyat melalui penurunan harga bersubsidi RON95 kepada RM1.99 seliter.

“Sejak  2023, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah penyasaran semula subsidi secara berperingkat, termasuk subsidi elektrik, pengapungan harga ayam dan telur ayam, penyasaran subsidi diesel serta penstrukturan semula tarif elektrik,” kata MOF.

Menurutnya, langkah-langkah ini dilaksanakan dengan matlamat untuk melestarikan ekonomi negara, mengurangkan ketirisan kepada aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi dan memastikan manfaat subsidi disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar layak.

Kementerian itu berkata kerajaan juga menekankan pendekatan berperingkat bagi memastikan penjimatan tercapai tanpa menjejaskan rakyat biasa.

“Hasil pendekatan ini, kadar inflasi 2024 terkawal pada 1.8 peratus berbanding 2.5 peratus pada 2023, manakala pada suku ketiga 2025, kadar itu menurun lagi kepada 1.3 peratus,” katanya.

-- BERNAMA