BERITA TERKINI   Muhyiddin umum letak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026 | 

IOI Corp Lantik Bekas Pengerusi Bursa Malaysia Sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- IOI Corporation Bhd telah melantik bekas Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya, berkuat kuasa 5 Nov, 2025.

Kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata Abdul Wahid menggantikan Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang bersara daripada lembaga pengarah hari ini.

Sebelum ini, Abdul Wahid berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank dari Mei 2008 hingga Jun 2013, selain Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia. 

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.

Abdul Wahid turut berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd dari Ogos 2016 hingga Jun 2018 dan menamatkan tempoh lima tahun sebagai Pengerusi Bursa Malaysia pada 30 April 2025.

Ketika ini, Abdul Wahid merupakan Pengerusi Cypark Resources Bhd, Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia (WWF-Malaysia) dan Yayasan MySDG.

-- BERNAMA