BERITA TERKINI   Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid meninggal dunia tengah hari tadi | Inflasi Malaysia naik 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat perlu ikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa - PM Anwar | Puasa satu ujian keikhlasan, disiplin dan integriti - PM Anwar | Mulakan Ramadan dengan perasaan tawaduk, muhasabah dan perbaiki diri - PM Anwar | 

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini berikutan penurunan harga minyak mentah penanda aras, kata seorang peniaga.

Beliau berkata harga minyak merosot apabila pelabur menilai keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk menghentikan kenaikan pengeluaran pada suku pertama tahun depan sebagai petunjuk potensi berlakunya lebihan bekalan dalam pasaran.

Ketika ini, minyak mentah Brent susut 1.23 peratus kepada US$64.09 setong.

Peniaga itu berkata sentimen pasaran turut terjejas susulan data perindustrian global yang lemah serta petunjuk ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih lembap daripada jangkaan.

“Sektor pembuatan AS menguncup untuk bulan kelapan berturut-turut pada Oktober, dengan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan ISM susut kepada 48.7 daripada 49.1, berikutan penurunan tempahan baharu serta penangguhan berkaitan tarif yang terus menjejaskan aktiviti,” katanya.

Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh sentimen lebih baik hasil optimisme terhadap gencatan perang perdagangan antara AS dan China.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 12.5 sen kepada 719.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 0.5 sen kepada 566.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA