BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Perkukuh Kolaborasi, Kreativiti Dan Tatalaku Dalam Perangi Jenayah Kewangan -- Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menggesa industri kewangan untuk memanfaatkan prinsip kolaborasi, kreativiti dan tatalaku dalam mendepani cabaran baharu serta melindungi integriti ekosistem kewangan.

Gabenornya, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata landskap digital dan kewangan yang sentiasa berkembang memerlukan kelincahan dan kolaborasi yang lebih tinggi bagi memerangi ancaman.

Sehubungan itu, katanya perkongsian maklumat dan kepakaran pantas penting dalam usaha memerangi jenayah kewangan.

Beliau turut menekankan mengenai Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang berfungsi sebagai platform kolaboratif untuk agensi kerajaan, institusi kewangan dan industri komunikasi.

"NSRC kini beroperasi 24 jam sehari untuk menerima laporan, mengesan, membekukan dan memulihkan dana yang ditipu.

"Sehingga suku ketiga 2025, ia menerima 263,683 panggilan dan berjaya merampas RM12.91 juta dan RM1.99 juta daripada dana yang dicuri, sudah dipulangkan kepada mangsa," katanya dalam ucapan pembukaannya di Persidangan Antarabangsa ke-15 Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) di sini hari ini.

Abdul Rasheed berkata, kolaborasi penting dalam memerangi jenayah baharu yang dipermudahkan oleh teknologi terutamanya melalui media sosial dan platform penstriman.

Bagi kreativiti pula, beliau berkata, langkah-langkah dan infrastruktur antipengubahan wang haram (AML) tidak boleh kekal statik dalam menangani jenayah kewangan.

Beliau berkata, industri kewangan mesti meneroka penyelesaian kreatif dan memanfaatkan teknologi terkini.

Dari segi tatalaku, beliau memberitahu kes penipuan dan rasuah dalam industri menunjukkan industri kewangan mesti memperbaiki tatalaku selain menyatakan mesej yang jelas iaitu pekerja tidak beretika dan berkelakuan buruk mesti dikenakan hukuman atas salah laku.

"Ketika teknologi dan kecerdasan buatan membentuk semula pematuhan dan AML, kita mesti ingat iaitu tatalaku peribadi dan etika merupakan faktor yang akhirnya mengekalkan kepercayaan.

"Tiada algoritma yang boleh menggantikan pertimbangan, integriti dan akauntabiliti yang diharapkan daripada industri kewangan," katanya.

-- BERNAMA